Header Latest

MANTERA BERADU

| Saturday, October 31, 2009

Mantera Tatkala Jiwa Gelora

Gerakkan Hati... Hati gerakkan..
Pandanglah aku.. aku lah dia..

Kulitku tebal.. ku kebal.. ingatku kebal..
hanya berbual makan angin kembung perut mual..
resah dan tidak senang.. hidup tak pernah lenang..
ku schizo paranoia takut pecah tembelang

Pecah tembelang... peta dah hilang...
bangau dah pulang... suara sumbang..

Lidahku kaku tak selicin kuku
teman baikku buku
bini ku pena.. tak pernah lena
aku suka mengintai pantang ditenung
berakhir pertelingkahan dalaman pasti belum
Ikut gerak hati.. pena melayang
dilihat dua layang pandang
tak lah segarang
takat meradang
tanya.. abang gedang, apa barang?
badan macam badang
main macam belakang parang

Kuhunuskan keris musuh ada pistol
tradisi kekalkan adaptasi harus betul
tujuh baris keramat tujuh garis penamat
baik berpada biar jahat asal selamat

Ramai saudaraku yang baik telah dipijak
Awan mendung yang berarak
bawa tangis bawa resah
rebah rindu yang terkumpul
semua gerak dan kalimah
semua janji yang terikat lebur disisimu

Yo ijazah terbaik datangnya dari jalanan
dari pengalaman bercakar dan bersalaman
konflik motivasi cuba meditasi
positif dan benci jadi inspirasi pagi

Peduli itu interpretasi basi pekakkan sebelah
halang biar keduanya muka cantik
soalan bodoh yang ditanya jadi melodinya
lebih hina dari zina

Lu bikin dosa ku bikin prosa
testosterone testarosa
cita-cita sosa kl kl kosa nostra
jalan berliku ku harung roller coaster
gah sentosa tiada penyesalan
luas pandangan jauh dah berjalan
tak sempurna masih ada kejanggalan
gagal merancang, merancang kegagalan

Kucing bawa tidur rimau bawa igau
masuk tempat orang bawa otak bukan pisau

Naik bukit angkuh cakap ayah jangan risau
turun bukit pucat dengar tiga miaw
kucing bawa tidur rimau bawa igau
masuk tempat orang bawa otak bukan pisau
tolak pintu gua tiga kerat tenaga
kosong tak dijaga sampai datang tiga naga
ingat nak berlaga tapi tak kan boleh menang
menang dengan otak tak mesti dengan pedang

Sebelum jadi bangkai ikan koi renang renang
pura pura salah jawapan untuk naik berang
panggil lima kawan atau biar pergi laju
risaukan perkara remeh kita tak akan maju
muka sama hijau hati siapa tahu
merah dah menyala pasti mati siapa mahu
gagap tiga kali bercakap benar saja
bulan terang ramai yang keluar buat kerja

Panjat pokok buluh cari tukun air terjun
naik sampai nampak dah terpegun turun
tiga ular ikut lompat atau paut
kalau lari mati jika jerut maut

Puisi hati mu... hati mu puisi
palu hati ku palu hatiku

Kulit tak bersalin walau saling ganti baju
pandang sini pandang sini
ku berbahasa baku kata kata nahu
himpun jadi satu
mantera beradu dengan irama dan lagu.

IPGM KAMPUS BAHASA MELAYU

| Friday, October 30, 2009

"BERKAWANLAH selagi ada hati,
BERCINTA selagi ada yang sudi,
BERGEMBIRALAH selagi ada insan di sisi,
dan hargailah SAHABAT selagi terasa ianya bererti.."

"SALAM PERPISAHAN"
KURSUS DALAM PERKHIDMATAN 14 MINGGU
(PENGAYAAN DALAM PENDIDIKAN BAHASA MELAYU)
IPGM KAMPUS BAHASA MELAYU, KUALA LUMPUR
27 JULAI - 30 OKTOBER 2009

AROWANA

| Sunday, October 18, 2009

Pengenalan Arowana

Kelisa atau dikenali sebagai arowana merupakan raja ikan hiasan eksotik air tawar yang berada dalam kelas yang tersendiri, bermutu tinggi dan bersifat eksklusif. Di Indonesia, ikan karnivor yang sedang diancam kepupusan ini dikenali sebagai peyang, tangkelesa, kelesa, siluk, kahyangan dan pelbagai nama lain.

Bagi masyarakat Cina pula ikan bernilai tinggi ini popular sebagai dragon fish atau ikan naga kerana bersisik dan bersesungut besar yang menyerupai naga Cina. Dalam dunia perdagangan ikan hiasan, kelisa yang sering mencari makanan di permukaan air ini lebih dikenali sebagai dragon bonytongues yang bermaksud lidah tulang.

Ikan kelisa mempunyai kepala yang agak bertulang, badan memanjang yang dilitupi sisik besar, sirip dorsal dan dubur yang mempunyai sinar lembut dan agak panjang serta sirip pektoral dan ventral yang kecil. Ikan kelisa mendapatkan oksigen melalui udara yang disedut ke dalam pundi renang yang berkedut dan mempunyai kapilari seperti tisu peparu.

Kelisa atau arowana terbahagi kepada sepuluh spesies iaitu tiga spesies dari benua Amerika Selatan, satu spesies dari Afrika, dua dari Australia dan empat spesies dari benua Asia. Di Malaysia, spesies yang paling popular dan mendapat permintaan tinggi daripada penggemar ikan hiasan eksotik ini ialah spesies Kelisa Emas Malaysia iaitu Malaysian Golden atau Asian Bonytongue (scleropages formosus).

Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00

PERAYAAN DEEPAVALI

| Thursday, October 15, 2009

Diwali

Hari Deepavali (bahasa Hindi: दिपावली , bahasa Tamil: தீபாவளி) yang dikenali juga sebagai Diwali atau Divali (bahasa Hindi: दीवाली ) merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang membawa maksud cahaya dan perkataan "Gavali" yang bermaksud barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November). Deepavali juga dikenali sebagai pesta cahaya dalam masyarakat Malaysia.

Menurut lagenda, Raja Naragasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasura meminta semua manusia agar meraikan hari kemenangan itu sebagai tanda peringatan tentang godaan hantu dan syaitan, sentiasa berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia. Oleh itu, pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah para penganut Hindu semasa perayaan Deepavali sebagai simbol kejayaan kuasa kebaikan mengatasi kejahatan.

Perkataan Sanskrit "Deepavali" bermaksud satu pameran pelita-pelita yang menandakan kemenangan cahaya menewaskan kegelapan. Oleh sebab pengetahuan bahasa Sanskrit merosot, nama perayaan ini sering diubah menjadi Divali, terutama di India utara. Di kawasan ini juga, komuniti ahli pernigaan akan memulakan tahun kewangan perniagaan mereka dengan membuka buku akaun baru pada hari Divali ini.

Di Malaysia, hari Deepavali disambut pada bulan ketujuh kalendar suria Hindu dan dijadikan cuti umum persekutuan di seluruh Malaysia. Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalankan upacara mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian tersebut, penganut Hindu akan mengunjungi kuil dan mengalungkan kalungan bunga pada patung dewa Hindu.

Pada setiap kali sambutan perayaan Deepavali, pintu masuk rumah penganut Hindu diletakkan hiasan "kolam", atau hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya diperbuat daripada bijirin pelbagai warna. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi iaitu Dewi Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah penganut yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.


"SELAMAT MENYAMBUT PERAYAAN DEEPAVALI"

DEMI MARUAH DIRI

| Sunday, October 11, 2009

Anjing Dunia

Anjing durjana!
Semangatku kau terkam
hatiku kau robek
sepanjang laluanku ke puncak jaya
salakan membingitkan telingaku
menggoncang keimanan..
menggegar kewarasan..
setitik maruah diriku menitis ke bumi
usah kau tagih keampunan suci
memang dasar binatang!

Anjing dunia!
Tidak akan ku lari ke hujung dunia
hanya kerana hancing noda kotoranmu
usah impikan kau ku belai manja
gertak salakan tidak ku gentar
kerana aku pasti seyakin-yakinnya
kau cuma seekor anjing dunia yang gila
bermuka dua mencabar Ilahi
pertaruh bangsa demi angan-angan
memang dasar binatang!

11.03pm..3 September 2009..Khamis
Tatkala mata ku butakan, telinga ku pekakkan dan mulut ku bisukan..
Kajang, Selangor.

HAK MUTLAK

| Friday, October 9, 2009

Rezeki Ilahi

SYAZWI dan SYAZWINA..ayah bekerja seikhlas hati tidak pernah menagih simpati untuk sekelumit rezeki yang diperuntukkan untuk insan lain buat mengisi perutmu. Usah risau apa yang ayahmu beri menjadi darah daging penyambung nyawa kerana sesungguhnya hanya ayah dan Dia mengerti dan mengetahui yang terbaik buat permata hati walau dirompak rakus tanpa simpati.

10.35am..15 Julai 2009..Rabu
Tatkala mata ku butakan, telinga ku pekakkan dan mulut ku bisukan..
Kajang, Selangor.

BICARA HATI

| Thursday, October 8, 2009


Mantera Pemula Bicara

Sembah salam setulus hati
jiwa murni menyulam bicara
nawaitu suci menjunjung bahasa
demi menjulang maruah bangsa

10.37am..8 Oktober 2009..Khamis
KDP 14M Pengayaan Pendidikan Bahasa Melayu
Institut Pendidikan Guru Malaysia
Kampus Bahasa Melayu,
Kuala Lumpur.

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"