Header Latest

PERAYAAN DEEPAVALI

| Thursday, October 15, 2009

Diwali

Hari Deepavali (bahasa Hindi: दिपावली , bahasa Tamil: தீபாவளி) yang dikenali juga sebagai Diwali atau Divali (bahasa Hindi: दीवाली ) merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang membawa maksud cahaya dan perkataan "Gavali" yang bermaksud barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November). Deepavali juga dikenali sebagai pesta cahaya dalam masyarakat Malaysia.

Menurut lagenda, Raja Naragasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasura meminta semua manusia agar meraikan hari kemenangan itu sebagai tanda peringatan tentang godaan hantu dan syaitan, sentiasa berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia. Oleh itu, pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah para penganut Hindu semasa perayaan Deepavali sebagai simbol kejayaan kuasa kebaikan mengatasi kejahatan.

Perkataan Sanskrit "Deepavali" bermaksud satu pameran pelita-pelita yang menandakan kemenangan cahaya menewaskan kegelapan. Oleh sebab pengetahuan bahasa Sanskrit merosot, nama perayaan ini sering diubah menjadi Divali, terutama di India utara. Di kawasan ini juga, komuniti ahli pernigaan akan memulakan tahun kewangan perniagaan mereka dengan membuka buku akaun baru pada hari Divali ini.

Di Malaysia, hari Deepavali disambut pada bulan ketujuh kalendar suria Hindu dan dijadikan cuti umum persekutuan di seluruh Malaysia. Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalankan upacara mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian tersebut, penganut Hindu akan mengunjungi kuil dan mengalungkan kalungan bunga pada patung dewa Hindu.

Pada setiap kali sambutan perayaan Deepavali, pintu masuk rumah penganut Hindu diletakkan hiasan "kolam", atau hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya diperbuat daripada bijirin pelbagai warna. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi iaitu Dewi Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah penganut yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.


"SELAMAT MENYAMBUT PERAYAAN DEEPAVALI"

0 Maklum Balas:

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"