Header Latest

AIDILADHA

| Wednesday, November 25, 2009

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dan merupakan perayaan terbesar dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari kesepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah pada setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Dari segi bahasa, 'korban' bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam dan 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam iaitu Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah. Pada Hari Raya Aidiladha, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian sebelum menunaikan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat yang diadakan pada sebelah pagi.


"SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA"

1 Maklum Balas:

Syed Norzalman said...

Rencana dipetik dan disunting daripada Wikipedia.

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"