Header Latest

SUATU TRAGEDI

| Friday, August 20, 2010

Abadikah Tragedi
Tragedi
Hanyut aku dalam satu impian
Terbakar aku dalam keraguan
Di mana sembunyi
Kesucian satu tragedi
Begini dilahirkan dari titik yang suci
Kehitaman hanya menyelubungi
Biarku mencuci lukaku sendiri


Tragedi...
Biar hangus dan aku terbakar
Walau lemas aku tenggelam
Biar pahit aku telan rasa
Namun aku sedia
Tragedi walau kau datang
Walau kau pergi
Aku tetap begini
Tragedi walau terhumban
Ke laut ngeri aku pasti kembali
- J.S. Kevin

RENDRA

| Thursday, August 12, 2010

Tuhan, Aku Cinta PadaMu

Aku lemas
Tapi berdaya
Aku tidak sambat rasa sakit
atau gatal

Aku pengin makan tajin
Aku tidak pernah sesak nafas
Tapi tubuhku tidak memuaskan
untuk punya posisi yang ideal dan wajar

Aku pengin membersihkan tubuhku
dari racun kimiawi

Aku ingin kembali pada jalan alam
Aku ingin meningkatkan pengabdian
kepada Allah

Tuhan, aku cinta padaMu


31 Julai 2009

AMIR HAMZAH

| Tuesday, August 3, 2010

PadaMu Jua

Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padamu
Seperti dahulu

Kaulah kendi kemerlap
Pelita jendela dimalam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia, selalu

Satu kasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa

Dimana engkau
Rupa tiada
Suara sayup
Hanya kata merangkai hati

Engkau cemburu
Engkau ganas
Mangsa aku dalam cakarmu
Bertukar tangkap dengan lepas

Nanar aku, gila sasar
Sayang berulang padamu jua
Engkau pelik menarik ingin
Serupa darah dibalik tirai

Kasihku sunyi
Menunggu seorang diri
Lalu waktu - bukan giliranku
Mati hari - bukan kawanku

DIET AROWANA : UDANG

| Tuesday, June 22, 2010

Udang

Udang Hidup: Udang yang bersaiz kecil dan sederhana kaya dengan vitamin A. Namun begitu, penggemar ikan arowana dinasihatkan agar mengelak daripada memberi makan anak-anak arowana dengan makanan jenis ini kerana kulit udang sukar untuk dicernakan, malah boleh mencederakan usus. Penggemar ikan eksotik ini juga dinasihatkan agar memberi udang dalam kuantiti yang diperlukan sahaja dan jangan sesekali dibiarkan sehingga udang-udang ini berlegar-legar di dasar akuarium. Jika dibiarkan berterusan, arowana akan merenung ke dasar akuarium dalam tempoh yang tertentu dan dikhuatiri akan menyebabkan arowana mendapat sindrom bermata jatuh. Selain itu, udang juga berpotensi dalam menyebarkan wabak penyakit.

Daging Udang Segar: Daging udang segar juga boleh dijadikan sebagai makanan arowana dan cuba elakkan daripada memberi daging udang beku melainkan telah pasti kesegaran daging tersebut. Ini kerana pengenyahan protein akibat proses pembekuan boleh menjurus kepada penyakit hati dan kerosakan organ-organ dalaman arowana untuk jangka masa panjang. Pembuangan kepala udang sebelum diberikan kepada arowana amat disyorkan memandangkan kepala udang sukar untuk dicerna, malah insangnya juga dikhuatiri mengandungi kepekatan toksin atau kuman yang tinggi. Penggemar ikan arowana juga dinasihatkan agar menyediakan daging udang dalam bentuk yang mudah dihadam dan dibilas terlebih dahulu sebelum digunakan.

Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00
Anggaran Harga Pasaran : RM1200.00

KEMBALI KE SEKOLAH

| Friday, June 18, 2010

Tahu Mengambil Tahu

Andai tidak tahu perlulah mengambil tahu agar tahu akhirnya.
Kalau sudah tahu sampaikan kepada yang tidak tahu agar tahunya
dapat mencorak alur hidup demi kehidupan abadi kerana hanya Dia
yang tahu akan segala-galanya untung nasib hamba yang tahu,
tidak tahu dan yang tahu buat tidak tahu.


4.13pm..18 Jun 2010..Jumaat
Tatkala mata ku butakan, telinga ku pekakkan dan mulut ku bisukan..
Kajang, Selangor.

DIET AROWANA : IKAN

| Friday, January 1, 2010

Ikan

Ikan Hidup: Ikan-ikan umpanan seperti ikan-ikan peragut kecil, anak-anak koi, anak-anak keli, anak-anak toman, dan anak-anak tilapia adalah antara ikan yang boleh digunakan sebagai makanan arowana selagi tidak beracun dan saiznya mudah dihadam. Namun begitu, perhatian perlu diberi kerana terdapat potensi penyebaran wabak penyakit apabila makanan jenis ini digunakan sebagai diet arowana. Justeru, langkah yang bijak adalah dengan mengkuarantin ikan-ikan tersebut bagi mengetahui dan seterusnya mengasingkan ikan-ikan yang sakit.

Untuk memindahkan zat-zat atau unsur-unsur ubatan kepada arowana, ikan-ikan tersebut haruslah diberi makan dengan makanan-makanan yang berzat. Sesetengah ikan seperti ikan mas misalnya, kaya dengan kandungan lemak dan dibimbangi akan mengundang masalah sindrom arowana bermata jatuh. Ikan mas juga dipercayai mengandungi enzim-enzim yang mampu menyusutkan zat-zat dalam tubuh arowana. Oleh itu, cuba jarakkan penggunaan ikan mas atau tidak menggunakan sama sekali ikan jenis ini.

Daging Ikan Segar:
Daging ikan segar juga boleh dijadikan sebagai makanan arowana. Siang selaput lemak ikan itu terlebih dahulu dan dipotong kepada saiz hadaman (kubid). Kemudian, daging ikan tersebut dibilas sebelum diberi kepada arowana bagi menghindari pencemaran sumber airnya. Penggunaan daging ikan beku perlu dielakkan kerana pengenyahan protein akibat proses pembekuan akan menjurus kepada penyakit hati dan kerosakan organ-organ dalaman arowana dalam jangka masa panjang.

Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00

SUNGAI SEKAMAT

| Sunday, December 20, 2009

Asal Usul Kampung Sungai Sekamat

Kampung Sekamat telah dibuka sekitar tahun 1800 oleh para penghijrah yang kebanyakannya berasal dari Minangkabau, Sumatera. Menurut cerita, kebanyakan peneroka awal yang berhijrah ke kawasan ini adalah golongan yang handal dalam ilmu persilatan dan perbomohan. Para peneroka ini juga terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Nama kampung ini dipercayai diperoleh daripada seorang penduduk kampung tersebut yang bernama Kamat. Kamat merupakan seorang penggali sumur atau telaga yang tinggal di pedalaman kampung. Para penduduk di kawasan itu sering mendapatkan khidmat beliau dan apabila mereka ditanya oleh penduduk lain ketika dalam perjalanan ke rumah Kamat, mereka akan menjawab, "Hendak ke rumah Si Kamat." Lama-kelamaan tempat ini dikenali sebagai 'Sikamat' dan oleh kerana kedudukan rumahnya yang berdekatan dengan sebatang sungai, maka nama kawasan tersebut menjadi Sungai Sekamat hingga ke hari ini.

DIET AROWANA : SERANGGA

| Wednesday, December 9, 2009

Serangga

Cengkerik: Cengkerik adalah sejenis makanan yang berkhasiat untuk arowana dan risiko penyebaran wabak penyakit juga rendah. Saiz cengkerik yang hendak diberikan kepada arowana haruslah sesuai dengan saiz arowana dan sebaik-baiknya kaki cengkerik yang berduri halus dibuang sebelum diberikan kepada anak-anak arowana bagi mengelakkan kecederaan usus. Untuk keselamatan arowana peliharaan, cengkerik yang hendak diberikan juga perlu diperoleh daripada penternak cengkerik sahaja iaitu yang ada dijual di kedai ikan kerana dibimbangi cengkerik liar telah dicemari dengan racun serangga perosak. Sebagai pemelihara arowana yang bijak, kita juga boleh memberi makan cengkerik-cengkerik dengan makanan bervitamin seperti lobak merah sebelum diberikan kepada arowana. Ini adalah cara terbaik bagi memindahkan khasiat kerana Vitamin A daripada lobak merah mampu meningkatkan warna arowana terutama sekali arowana kategori Merah.

Lipas:
Sama seperti cengkerik iaitu jangan sesekali memberi lipas yang telah mati kepada arowana kerana dikhuatiri lipas tersebut telah dicemari racun serangga. Sebaik-baiknya lipas yang ingin diberikan kepada arowana dikuarantin terlebih dahulu dalam beberapa hari untuk memastikan lipas-lipas tersebut tidak dicemari kerana lipas yang telah dicemari racun serangga pasti akan mati dalam tempoh kuarantin.

Lipan: Lipan merupakan antara makanan yang digemari arowana dan merupakan makanan yang sangat berkhasiat. Lipan sering digunakan di Asia bagi tujuan meningkatkan warna arowana. Namun begitu, keupayaan untuk mendapatkan lipan adalah rendah dan harga di pasaran juga agak tinggi berbanding jenis makanan arowana yang lain.

SUNGAI KEMBONG

| Monday, December 7, 2009

Asal Usul Kampung Sungai Kembong

Terdapat dua versi mengenai kisah asal usul nama Kampung Sungai Kembong Hulu. Menurut versi pertama, kampung ini dipercayai telah dibuka sebelum tahun 1915 oleh para peneroka dari Palembang, Sumatera dan kemudiannya disusuli oleh orang Bangkahulu, Sumatera. Kampung ini mendapat nama apabila suatu peristiwa menyayat hati telah berlaku semasa kerja-kerja penerokaan dan pembersihan hutan dijalankan.

Pada ketika itu, salah seorang peneroka telah pergi ke sebatang sungai untuk membasuh muka dan minum kerana terasa panas dan kehausan ketika menjalankan kerja penerokaan hutan. Ketika membongkokkan badan untuk membasuh muka, peneroka tersebut telah diserang penyakit sawan babi (epilepsy) lalu jatuh terlungkup ke dalam sungai yang dikatakan cetek iaitu hanya separas buku lali. Dengan takdir Tuhan, peneroka tersebut telah meninggal dunia tanpa disedari rakan-rakannya.

Pada keesokan hari, mayat peneroka tersebut telah dijumpai oleh rakan-rakannya dalam keadaan perut yang sudah kembung. Sehubungan dengan peristiwa tersebut kampung yang baru diteroka itu telah diberi nama Kampung Sungai Kembong Hulu dan perkataan 'hulu' merujuk kepada kedudukan kawasan itu yang terletak di bahagian hulu sungai.

Menurut versi kedua pula, nama Kampung Sungai Kembong Hulu ini diperoleh berdasarkan sejenis rotan iaitu rotan kembung yang banyak tumbuh di tepi sungai kampung tersebut ketika awal penerokaan. Oleh itu, para peneroka awal telah menamakan kampung ini bersempena dengan nama rotan tersebut.

DIET AROWANA

| Saturday, December 5, 2009

Diet Arowana

Arowana adalah spesies ikan pemaging (carnivorous). Dalam habitat liar, makanan ruji ikan arowana terdiri daripada serangga, ikan-ikan kecil (meadow fishes), udang-udang kecil (shrimps), cacing dan amfibia kecil. Makanan mentah amat digemari arowana tetapi ikan spesies ini juga boleh dilatih untuk menerima pelbagai jenis makanan alternatif yang lain. Mempelbagaikan menu makanan arowana adalah satu kemestian bagi mengelakkan kekurangan zat-zat makanan yang merupakan sumber utama tumbesaran arowana.

Arowana kecil (bawah 15sm) harus diberi makan sebanyak tiga kali sehari, arowana muda (15-35sm) sebanyak dua kali sehari dan arowana dewasa (35sm ke atas) pula sekali sehari atau berselang sehari. Ikan hidup yang tinggi kandungan lemak perlu dijadikan menu kepada arowana dalam jarak masa tertentu bagi mengelakkan permasalahan sindrom bermata jatuh (down-eyed syndrome). Jika arowana diberi makan berlebihan (over fed) dalam jangka waktu yang berterusan akan menyebabkan ikan peliharaan eksotik ini mula kehilangan selera untuk makan dan cara mengatasi masalah ini adalah dengan melaparkan arowana iaitu tidak diberi makanan selama beberapa hari. Selain itu, jika arowana kerap diberi makan berlebihan dipercayai akan memendekkan jangka hayat arowana tersebut dan memudaratkan keupayaan ikan arowana itu untuk membiak.


Makanan hidup secara umumnya lebih berzat berbanding makanan yang telah diproses berbentuk batangan (stick foods) dan butiran (pellets) di pasaran. Namun begitu, risiko penyebaran wabak penyakit adalah lebih tinggi apabila makanan hidup dijadikan sebagai menu arowana. Sehubungan dengan itu, makanan-makanan hidup yang dipilih haruslah dikuarantin beberapa hari sebelum diberi kepada arowana.

GEMALAI RONGGENG JENIN

| Wednesday, December 2, 2009

Gemalai Ronggeng Jenin


Gemaung serata buana
kuda tempur dihambat hiba
namun nestapa tiada berzahir rupa
terkemam di balik lidah bertulang
pawaka amarah menjolak bisa sangar
setelah kalbu didupak jenin puaka
mengendong beban dikerah mara;
merongkah kewarasan sukma
menggegar imbangan jiwa

tika berjuang di medan murabbi.

Sedangkan keldai haprak hamis;
jongos girang mengintai ruang
abdi jenin mengemis peluang
menyusun bicara menjohong halus
murah di mulut menongkah arus
bersulam kata tinggi melangit
enau melilit; menghenyak demi puncak
riak menuju loga fana
ria menjabal rakus laba sebangsa
mara tanpa bebanan melainkan angan
mengendong cita dongeng dan impian
beronggeng gah seia gemalai jenin.

1.04am..26 November 2007..Isnin
Tatkala mata ku butakan, telinga ku pekakkan dan mulut ku bisukan..
Kajang, Selangor.

KUALA PAJAM

| Monday, November 30, 2009

Asal Usul Kampung Kuala Pajam

Kampung Kuala Pajam terletak di sempadan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Kampung ini telah diterokai sekitar tahun 1914 oleh sekumpulan peneroka dari Negeri Sembilan. Kampung ini mendapat nama daripada sebatang sungai yang mengalir di tengah-tengah kampung yang berpunca dari Batang Benar dan Pajam di Negeri Sembilan serta Beranang. Kesemua sungai tersebut mengalir dan telah bertumpu ke kuala sungai di kawasan kampung ini. Asal nama "pajam" berhubung kait dengan asal usul nama Beranang dan Kampung Sungai Kembong.

"Pajam" bermaksud telah meninggal dunia dalam bahasa Minangkabau dan dikatakan berhubung kait dengan sejarah Beranang iaitu akibat daripada pertempuran yang telah menyebabkan mayat-mayat kelihatan seolah-olah berenang di dalam sungai yang dipenuhi darah dan telah hanyut ke hilir sungai sehingga sampai ke Kampung Kuala Pajam. Apabila mayat-mayat ini sampai di kuala sungai tersebut, penduduk di situ mendapati mata mayat hanyut tersebut telah terpejam (pajam) atau telah meninggal dunia. Selepas beberapa hari kemudian, mayat-mayat tersebut hanyut ke hilir sungai hingga tiba di Kampung Sungai Kembong.

TIP MEMBELI AROWANA

| Saturday, November 28, 2009

Memilih Arowana Terbaik

Kesihatan arowana adalah perkara paling asas yang perlu dipertimbangkan ketika ingin membeli spesies ikan yang amat bernilai ini. Pilihlah arowana yang aktif sahaja dan elakkan daripada membeli arowana yang suka bersembunyi di penjuru aquarium, berenang tidak normal atau yang berpenyakit. Antara tanda-tanda seekor arowana itu berpenyakit atau memiliki kecacatan adalah seperti sepasang sesirip pektoral yang terkapit, sesirip pektoral yang tidak sama panjang atau terlalu membengkok, konfigurasi sesisik yang tertonjol, dubur tersembul, bebola mata berselaput dan bernafas terlalu cepat (rapid breathing).

Keseluruhan konfigurasi ikan arowana yang ingin dibeli juga haruslah berkeadaan seimbang serta mampu mempamerkan keunggulan dan rasa keanggunan kepada bakal pemiliknya. Kedua-dua bebola mata haruslah kelihatan jernih dan bersih serta bebas daripada sebarang selaput tebal. Mulut dan rahang ikan arowana tersebut juga haruslah tertutup sempurna, dan sepasang sesungut di hadapan rahang bawah haruslah sama panjang serta tidak bergulung.

Selain itu, antara bahagian kepala dengan tubuh haruslah melandai dan bentuk keseluruhan tubuh haruslah serata serta seimbang. Sesisik ikan arowana itu juga haruslah tersusun rapi serta kelihatan seimbang dan sesirip haruslah sepadan dengan saiz tubuh iaitu tidak terlalu besar atau sebaliknya serta terbuka sepenuhnya. Warna arowana pula harus dititik berat berdasarkan kepada tanda-tanda pembeza keturunan (strain) iaitu sama ada daripada kategori Arowana Emas, Arowana Merah atau Arowana Hijau.

Rahang bawah yang menonjol ke atas akan kelihatan lebih ketara tatkala arowana itu semakin membesar. Ketidak seimbangan tumbesaran seperti berkepala atau bermata terlalu besar adalah petanda bahawa arowana mengalami kebantutan akibat kerencatan atau kelengkungan tulang spinalnya (spinal curvature). Sesirip yang besar lebih digemari oleh kebanyakan para penggemar ikan arowana tetapi hal ini tidak perlu terlalu difikirkan kerana sesirip ini akan kelihatan mengecil apabila arowana semakin membesar.

Arowana yang ingin dipilih juga harus pantas dan tangkas berenang dengan kesemua sesirip terbuka luas (termasuk sepasang sesirip pektoral). Arowana tersebut juga seharusnya tidak terlalu liar dan sentiasa bersedia untuk diberi makan. Adalah sukar untuk mengenal pasti tanda-tanda pembeza keturunan dan menentukan gred jika arowana masih terlalu kecil. Oleh yang demikian, penggemar ikan hiasan dicadangkan supaya mendapatkan arowana dewasa bagi tujuan pengenalpastian.

Penggemar ikan arowana juga dinasihatkan agar tidak sesekali membeli arowana yang baru sahaja tiba di kedai. Sebaliknya, langkah yang bijak adalah dengan menyediakan wang pendahuluan dan arowana tersebut disimpan di kedai tersebut. Penggemar ikan ini perlu mengikuti perkembangan demi perkembangan arowana yang ingin dibeli dalam beberapa hari kerana wabak penyakit mungkin berlaku akibat tekanan sewaktu perjalanan. Selain itu, sambil sibuk menyediakan tempat baru untuk bakal arowana peliharaan kesayangan itu, cuba pertimbangkan semula keputusan yang bakal dibuat bagi mengelakkan sebarang kekesalan dan membuat sedikit penyelidikan mengenai arowana-arowana yang baik mutunya.

HARI RAYA HAJI

| Thursday, November 26, 2009

"INSAN YANG BERJAYA sebenarnya ialah manusia yang
melakukan PENGORBANAN; sanggup berkorban masa, wang,
jiwa dan raga, kepentingan diri, tenaga dan kudrat, fikiran, perasaan
dan sebagainya kerana KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN
yang dikecapi TIDAK DATANG BERGOLEK."

"SELAMAT MENJALANKAN IBADAH KORBAN"

AIDILADHA

| Wednesday, November 25, 2009

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dan merupakan perayaan terbesar dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari kesepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah pada setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Dari segi bahasa, 'korban' bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam dan 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam iaitu Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah. Pada Hari Raya Aidiladha, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian sebelum menunaikan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat yang diadakan pada sebelah pagi.


"SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA"

CITES

| Saturday, November 21, 2009

Convention On International Trade
In Endangered Species Of Wild Fauna And Flora


CITES telah diasaskan dan ditandatangani di Geneva, Switzerland pada penghujung tahun 70-an secara bersama oleh beberapa buah negara yang menggariskan spesies Arowana Asia (Scleropages formosus) sebagai spesies fauna yang paling dilindungi (Appendix 1 akta CITES), sekaligus membasmi spesies ini daripada terus diancam kepupusan. Badan ini juga berperanan untuk memantau isu-isu penangkapan, pemilikan, pemasaran, pembiakan, penyeludupan, pengimportan dan pengeksportan secara haram di negara-negara yang diharamkan perdagangannya.

Bagi setiap Arowana Asia yang telah menjangkau ukuran 5-6 inci panjang (piawaian eksport) yang ingin diperdagangkan, lazimnya ikan-ikan tersebut akan disertakan 'tag' melalui kaedah penyuntikan sebutir 'mikrocip berdigital' masuk ke dalam tubuh menerusi bawah salah satu kepingan sisik Arowana Asia (biasanya pada sektor abdomal). Proses ini bertujuan bagi menetapkan identiti atau jenis keturunan Arowana Asia tersebut serta tempat asal ia dibiakkan (ladang pembiakan).


Di Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia bertanggungjawab dalam memantau segala aktiviti yang membabitkan spesies fauna air tawar yang dilindungi ini. Untuk tujuan pembiakan komersial pula, para bakal pembiak lazimnya harus memiliki sekurang-kurangnya 50-80 ekor baka ternak asal bagi melayakkan usaha mereka untuk membiakkan Arowana Asia dan seterusnya melaksanakan aktiviti pemasaran domestik, mengimport atau mengeksport.

Bagi setiap generasi biak komersial (generasi F2 - Second Filial, dan seterusnya) pula seperti Kategori Emas dan Kategori Merah, sijil perakuan identiti yang diiktiraf oleh sekretariat CITES
akan disediakan oleh pembiak untuk diserahkan bersama-sama 'produk komersial' mereka kepada setiap bakal pelanggan yang berpotensi. Ini juga adalah sebagai langkah rasmi bagi pembiak-pembiak komersial menjalankan aktiviti-aktiviti pengeksportan dan juga pengimportan fauna yang dilindungi ini.


Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00

OBOR HEMAH

|

Obor Hemah

Guru adalah awan indah terbang rendah
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara insan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
kitab sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara;
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara darma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun
mewariskan dunia sebagai kutub khanah,
menyediakan kutub khanah sebagai dunia;
ia mengemudi biduk, melepaskannya
atas lambungan laut, merangsang
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih;
dan pada ketika tak tersangkakan
walau diambilnya kembali semua buku
sempat ditinggalkannya asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.


A. Samad Said
Kuala Lumpur..2 April 1988

SESAPAN KELUBI

| Friday, November 20, 2009

Asal Usul Kampung Sesapan Kelubi

Kampung Sesapan Kelubi telah dibuka dalam tahun 1887 oleh sekumpulan pendatang berketurunan Jawa dan Minangkabau yang diketuai oleh seorang lelaki berketurunan Jawa Asli dan beragama Islam yang bernama Tok Mangkun. Makam Tok Mangkun masih terdapat di kawasan Kampung Tanjung sehingga ke hari ini.

Pada awal penerokaan, Kampung Sesapan Kelubi merupakan sebuah kawasan yang berpaya dan dipenuhi belukar. Kawasan ini dikatakan banyak ditumbuhi pokok-pokok hutan liar dan antara spesies yang banyak terdapat di kawasan tersebut ialah pokok kelubi. Orang Jawa yang berhijrah dan membuka penempatan di kawasan ini mendapati sebatang sungai mengalir di kawasan itu dan kawasan tebing sungai tersebut dipenuhi dengan pokok kelubi. Bersempena dengan sebatang sungai yang disebut sebagai 'sesapan' dan pokok kelubi yang banyak terdapat di kawasan itu, maka kampung itu telah diberi nama Kampung Sesapan Kelubi.

RINCHING HILIR

| Monday, November 16, 2009

Asal Usul Rinching Hilir

Kampung Rinching Hilir telah dibuka pada sekitar tahun 1915 oleh sekumpulan lima orang panglima dari Minangkabau, Sumatera. Antara nama panglima-panglima tersebut ialah Tok Pulut, Tok Jalik, Tok Mantau dan Tok Sayid. Para panglima ini datang berhijrah ke kawasan Kampung Rinching Hilir tanpa membawa bersama ahli keluarga mereka dan telah mendirikan pondok-pondok kediaman di kawasan yang berbukit.

Para Panglima dari Minangkabau ini adalah orang yang hebat dan kuat atau 'bagak' dalam bahasa Minangkabau. Ini kerana, mereka tidak takut dan berganjak dari kawasan pondok kediaman mereka walaupun banyak harimau berkeliaran di kawasan itu terutama pada waktu malam. Selain itu, dikisahkan juga bahawa salah seorang daripada panglima itu telah berjaya menangkap ikan bujuk dan sepat sebesar manusia ketika memancing di kawasan berpaya di sekitar kawasan kampung itu.

Punca Kampung Rinching Hilir mendapat nama amat berbeza dengan Kampung Rinching Tengah. Perkataan 'Rinching' sebenarnya membawa maksud saliran sungai yang merentasi kawasan kampung tersebut. Oleh kerana kampung tersebut terletak di kuala sungai itu, maka nama Kampung Rinching Hilir telah digunakan.

CHAIRIL ANWAR : KAWAN

| Sunday, November 15, 2009

Kepada Kawan

Sebelum ajal mendekat dan mengkhianat
Mencengkam dari belakang tika kita tidak melihat
Selama masih menggelombang dalam dada darah serta rasa
Belum bertugas kecewa dan gentar belum ada
Tidak lupa tiba-tiba bisa malam membenam
Layar merah terkibar hilang dalam kelam
Kawan, mari kita putuskan kini di sini:
Ajal yang menarik kita, juga mencekik diri sendiri!

Jadi
Isi gelas sepenuhnya lantas kosongkan
Tembus jelajah dunia ini dan balikkan
Peluk kecup perempuan, tinggalkan kalau merayu
Pilih kuda yang paling liar, pacu laju
Jangan tambatkan pada siang dan malam
Dan
Hancurkan lagi apa yang kau perbuat
Hilang sonder pusaka, sonder kerabat
Tidak minta ampun atas segala dosa
Tidak memberi pamit pada siapa saja!

Jadi
mari kita putuskan sekali lagi:
Ajal yang menarik kita, akan merasa angkasa sepi
Sekali lagi kawan, sebaris lagi:
Tikamkan pedangmu hingga ke hulu
Pada siapa yang mengairi kemurnian madu!!!

30 November 1946

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"