Header Latest

BANGI

| Monday, November 9, 2009

Asal Usul Bangi

Sejarah Bangi bermula di suatu persimpangan sungai iaitu di antara Sungai Bangi dan Sungai Buluh. Sungai ini menjadi laluan utama penduduk pada ketika itu untuk berhubung dan di bahagian kuala sungai pula telah menjadi tumpuan penempatan pendatang-pendatang dari luar terutama dari Sungai Ujung (Negeri Sembilan) dan Kelang. Kuala sungai ini dikenali sebagai Sungai Putar kerana airnya yang berputar atau berpusar. Para pendatang yang berkampung di kawasan ini telah menamakan kampung mereka sebagai Kampung Aman.

Ada sumber yang mengatakan bahawa penduduk Bangi yang berasal dari Sungai Ujung, Negeri Sembilan ini berhijrah ke kawasan itu setelah dikurniakan tanah oleh Yam Tuan Besar Negeri Sembilan atas jasa-jasa mereka. Sebahagian ahli kumpulan yang berhijrah ini telah memilih penempatan di Sungai Kembung dan sebahagian lagi bergerak ke hilir hingga ke Kuala Sungai Putar dan mendirikan penempatan di Bangi. Oleh kerana itu, telor atau bahasa penduduk di Bangi banyak dipengaruhi oleh pelat atau telor bahasa Minangkabau.

Ada juga pendapat mengatakan bahawa penduduk Bangi berasal dari Sumatera, Indonesia yang merantau dan akhirnya membuka penempatan di Kuala Sungai Putar. Kumpulan pendatang ini diketuai oleh sekumpulan bersaudara dan keturunan mereka terus berkembang hingga ke hari ini di kawasan tersebut. Terdapat beberapa versi mengenai asal usul nama Bangi iaitu :


Pendapat Pertama :
Penduduk asal kawasan ini adalah sekumpulan orang asli yang diketuai oleh Tok Batin Bangai. Pada ketika itu, Kuala Sungai Putar telah menjadi tumpuan pendatang mendirikan pondok sebagai tempat persinggahan mereka sebelum meneruskan perjalanan ke pelbagai tempat. Oleh kerana pelat atau telor bahasa pendatang yang pelbagai, lama kelamaan sebutan penduduk terhadap perkataan Bangai yang merujuk kepada Tok Batin Bangai telah berubah menjadi Bangi.

Pendapat Kedua :

Bangi mendapat nama daripada serumpun serai wangi yang banyak terdapat di tebing Kuala Sungai Putar. Serai Wangi merupakan sejenis serai yang mengeluarkan bau yang harum pada sesuatu masa. Oleh kerana dipengaruhi oleh bau harum serai wangi ini, penduduk tempatan telah menamakan kawasan tersebut sebagai Wangi dan lama kelamaan perkataan wangi itu telah bertukar menjadi Bangi hinggalah sekarang.

2 Maklum Balas:

Syed Norzalman said...

Sumber bahan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor Darul Ehsan (UPEN)

Manjalara (Azman Jalaludin) said...

dimana sungai putar tu ....?????

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"