Header Latest

SUNGAI SEKAMAT

| Sunday, December 20, 2009

Asal Usul Kampung Sungai Sekamat

Kampung Sekamat telah dibuka sekitar tahun 1800 oleh para penghijrah yang kebanyakannya berasal dari Minangkabau, Sumatera. Menurut cerita, kebanyakan peneroka awal yang berhijrah ke kawasan ini adalah golongan yang handal dalam ilmu persilatan dan perbomohan. Para peneroka ini juga terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Nama kampung ini dipercayai diperoleh daripada seorang penduduk kampung tersebut yang bernama Kamat. Kamat merupakan seorang penggali sumur atau telaga yang tinggal di pedalaman kampung. Para penduduk di kawasan itu sering mendapatkan khidmat beliau dan apabila mereka ditanya oleh penduduk lain ketika dalam perjalanan ke rumah Kamat, mereka akan menjawab, "Hendak ke rumah Si Kamat." Lama-kelamaan tempat ini dikenali sebagai 'Sikamat' dan oleh kerana kedudukan rumahnya yang berdekatan dengan sebatang sungai, maka nama kawasan tersebut menjadi Sungai Sekamat hingga ke hari ini.

DIET AROWANA : SERANGGA

| Wednesday, December 9, 2009

Serangga

Cengkerik: Cengkerik adalah sejenis makanan yang berkhasiat untuk arowana dan risiko penyebaran wabak penyakit juga rendah. Saiz cengkerik yang hendak diberikan kepada arowana haruslah sesuai dengan saiz arowana dan sebaik-baiknya kaki cengkerik yang berduri halus dibuang sebelum diberikan kepada anak-anak arowana bagi mengelakkan kecederaan usus. Untuk keselamatan arowana peliharaan, cengkerik yang hendak diberikan juga perlu diperoleh daripada penternak cengkerik sahaja iaitu yang ada dijual di kedai ikan kerana dibimbangi cengkerik liar telah dicemari dengan racun serangga perosak. Sebagai pemelihara arowana yang bijak, kita juga boleh memberi makan cengkerik-cengkerik dengan makanan bervitamin seperti lobak merah sebelum diberikan kepada arowana. Ini adalah cara terbaik bagi memindahkan khasiat kerana Vitamin A daripada lobak merah mampu meningkatkan warna arowana terutama sekali arowana kategori Merah.

Lipas:
Sama seperti cengkerik iaitu jangan sesekali memberi lipas yang telah mati kepada arowana kerana dikhuatiri lipas tersebut telah dicemari racun serangga. Sebaik-baiknya lipas yang ingin diberikan kepada arowana dikuarantin terlebih dahulu dalam beberapa hari untuk memastikan lipas-lipas tersebut tidak dicemari kerana lipas yang telah dicemari racun serangga pasti akan mati dalam tempoh kuarantin.

Lipan: Lipan merupakan antara makanan yang digemari arowana dan merupakan makanan yang sangat berkhasiat. Lipan sering digunakan di Asia bagi tujuan meningkatkan warna arowana. Namun begitu, keupayaan untuk mendapatkan lipan adalah rendah dan harga di pasaran juga agak tinggi berbanding jenis makanan arowana yang lain.

SUNGAI KEMBONG

| Monday, December 7, 2009

Asal Usul Kampung Sungai Kembong

Terdapat dua versi mengenai kisah asal usul nama Kampung Sungai Kembong Hulu. Menurut versi pertama, kampung ini dipercayai telah dibuka sebelum tahun 1915 oleh para peneroka dari Palembang, Sumatera dan kemudiannya disusuli oleh orang Bangkahulu, Sumatera. Kampung ini mendapat nama apabila suatu peristiwa menyayat hati telah berlaku semasa kerja-kerja penerokaan dan pembersihan hutan dijalankan.

Pada ketika itu, salah seorang peneroka telah pergi ke sebatang sungai untuk membasuh muka dan minum kerana terasa panas dan kehausan ketika menjalankan kerja penerokaan hutan. Ketika membongkokkan badan untuk membasuh muka, peneroka tersebut telah diserang penyakit sawan babi (epilepsy) lalu jatuh terlungkup ke dalam sungai yang dikatakan cetek iaitu hanya separas buku lali. Dengan takdir Tuhan, peneroka tersebut telah meninggal dunia tanpa disedari rakan-rakannya.

Pada keesokan hari, mayat peneroka tersebut telah dijumpai oleh rakan-rakannya dalam keadaan perut yang sudah kembung. Sehubungan dengan peristiwa tersebut kampung yang baru diteroka itu telah diberi nama Kampung Sungai Kembong Hulu dan perkataan 'hulu' merujuk kepada kedudukan kawasan itu yang terletak di bahagian hulu sungai.

Menurut versi kedua pula, nama Kampung Sungai Kembong Hulu ini diperoleh berdasarkan sejenis rotan iaitu rotan kembung yang banyak tumbuh di tepi sungai kampung tersebut ketika awal penerokaan. Oleh itu, para peneroka awal telah menamakan kampung ini bersempena dengan nama rotan tersebut.

DIET AROWANA

| Saturday, December 5, 2009

Diet Arowana

Arowana adalah spesies ikan pemaging (carnivorous). Dalam habitat liar, makanan ruji ikan arowana terdiri daripada serangga, ikan-ikan kecil (meadow fishes), udang-udang kecil (shrimps), cacing dan amfibia kecil. Makanan mentah amat digemari arowana tetapi ikan spesies ini juga boleh dilatih untuk menerima pelbagai jenis makanan alternatif yang lain. Mempelbagaikan menu makanan arowana adalah satu kemestian bagi mengelakkan kekurangan zat-zat makanan yang merupakan sumber utama tumbesaran arowana.

Arowana kecil (bawah 15sm) harus diberi makan sebanyak tiga kali sehari, arowana muda (15-35sm) sebanyak dua kali sehari dan arowana dewasa (35sm ke atas) pula sekali sehari atau berselang sehari. Ikan hidup yang tinggi kandungan lemak perlu dijadikan menu kepada arowana dalam jarak masa tertentu bagi mengelakkan permasalahan sindrom bermata jatuh (down-eyed syndrome). Jika arowana diberi makan berlebihan (over fed) dalam jangka waktu yang berterusan akan menyebabkan ikan peliharaan eksotik ini mula kehilangan selera untuk makan dan cara mengatasi masalah ini adalah dengan melaparkan arowana iaitu tidak diberi makanan selama beberapa hari. Selain itu, jika arowana kerap diberi makan berlebihan dipercayai akan memendekkan jangka hayat arowana tersebut dan memudaratkan keupayaan ikan arowana itu untuk membiak.


Makanan hidup secara umumnya lebih berzat berbanding makanan yang telah diproses berbentuk batangan (stick foods) dan butiran (pellets) di pasaran. Namun begitu, risiko penyebaran wabak penyakit adalah lebih tinggi apabila makanan hidup dijadikan sebagai menu arowana. Sehubungan dengan itu, makanan-makanan hidup yang dipilih haruslah dikuarantin beberapa hari sebelum diberi kepada arowana.

GEMALAI RONGGENG JENIN

| Wednesday, December 2, 2009

Gemalai Ronggeng Jenin


Gemaung serata buana
kuda tempur dihambat hiba
namun nestapa tiada berzahir rupa
terkemam di balik lidah bertulang
pawaka amarah menjolak bisa sangar
setelah kalbu didupak jenin puaka
mengendong beban dikerah mara;
merongkah kewarasan sukma
menggegar imbangan jiwa

tika berjuang di medan murabbi.

Sedangkan keldai haprak hamis;
jongos girang mengintai ruang
abdi jenin mengemis peluang
menyusun bicara menjohong halus
murah di mulut menongkah arus
bersulam kata tinggi melangit
enau melilit; menghenyak demi puncak
riak menuju loga fana
ria menjabal rakus laba sebangsa
mara tanpa bebanan melainkan angan
mengendong cita dongeng dan impian
beronggeng gah seia gemalai jenin.

1.04am..26 November 2007..Isnin
Tatkala mata ku butakan, telinga ku pekakkan dan mulut ku bisukan..
Kajang, Selangor.

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"