OBOR HEMAH

| Saturday, November 21, 2009

Obor Hemah

Guru adalah awan indah terbang rendah
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara insan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
kitab sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara;
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara darma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun
mewariskan dunia sebagai kutub khanah,
menyediakan kutub khanah sebagai dunia;
ia mengemudi biduk, melepaskannya
atas lambungan laut, merangsang
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih;
dan pada ketika tak tersangkakan
walau diambilnya kembali semua buku
sempat ditinggalkannya asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.


A. Samad Said
Kuala Lumpur..2 April 1988

1 Maklum Balas:

Anonymous said...

perlu menyemak:)

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"