Header Latest

SUNGAI KEMBONG

| Monday, December 7, 2009

Asal Usul Kampung Sungai Kembong

Terdapat dua versi mengenai kisah asal usul nama Kampung Sungai Kembong Hulu. Menurut versi pertama, kampung ini dipercayai telah dibuka sebelum tahun 1915 oleh para peneroka dari Palembang, Sumatera dan kemudiannya disusuli oleh orang Bangkahulu, Sumatera. Kampung ini mendapat nama apabila suatu peristiwa menyayat hati telah berlaku semasa kerja-kerja penerokaan dan pembersihan hutan dijalankan.

Pada ketika itu, salah seorang peneroka telah pergi ke sebatang sungai untuk membasuh muka dan minum kerana terasa panas dan kehausan ketika menjalankan kerja penerokaan hutan. Ketika membongkokkan badan untuk membasuh muka, peneroka tersebut telah diserang penyakit sawan babi (epilepsy) lalu jatuh terlungkup ke dalam sungai yang dikatakan cetek iaitu hanya separas buku lali. Dengan takdir Tuhan, peneroka tersebut telah meninggal dunia tanpa disedari rakan-rakannya.

Pada keesokan hari, mayat peneroka tersebut telah dijumpai oleh rakan-rakannya dalam keadaan perut yang sudah kembung. Sehubungan dengan peristiwa tersebut kampung yang baru diteroka itu telah diberi nama Kampung Sungai Kembong Hulu dan perkataan 'hulu' merujuk kepada kedudukan kawasan itu yang terletak di bahagian hulu sungai.

Menurut versi kedua pula, nama Kampung Sungai Kembong Hulu ini diperoleh berdasarkan sejenis rotan iaitu rotan kembung yang banyak tumbuh di tepi sungai kampung tersebut ketika awal penerokaan. Oleh itu, para peneroka awal telah menamakan kampung ini bersempena dengan nama rotan tersebut.

1 Maklum Balas:

Syed Norzalman said...

Sumber bahan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor Darul Ehsan (UPEN)

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"