Header Latest

KUALA PAJAM

| Monday, November 30, 2009

Asal Usul Kampung Kuala Pajam

Kampung Kuala Pajam terletak di sempadan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Kampung ini telah diterokai sekitar tahun 1914 oleh sekumpulan peneroka dari Negeri Sembilan. Kampung ini mendapat nama daripada sebatang sungai yang mengalir di tengah-tengah kampung yang berpunca dari Batang Benar dan Pajam di Negeri Sembilan serta Beranang. Kesemua sungai tersebut mengalir dan telah bertumpu ke kuala sungai di kawasan kampung ini. Asal nama "pajam" berhubung kait dengan asal usul nama Beranang dan Kampung Sungai Kembong.

"Pajam" bermaksud telah meninggal dunia dalam bahasa Minangkabau dan dikatakan berhubung kait dengan sejarah Beranang iaitu akibat daripada pertempuran yang telah menyebabkan mayat-mayat kelihatan seolah-olah berenang di dalam sungai yang dipenuhi darah dan telah hanyut ke hilir sungai sehingga sampai ke Kampung Kuala Pajam. Apabila mayat-mayat ini sampai di kuala sungai tersebut, penduduk di situ mendapati mata mayat hanyut tersebut telah terpejam (pajam) atau telah meninggal dunia. Selepas beberapa hari kemudian, mayat-mayat tersebut hanyut ke hilir sungai hingga tiba di Kampung Sungai Kembong.

TIP MEMBELI AROWANA

| Saturday, November 28, 2009

Memilih Arowana Terbaik

Kesihatan arowana adalah perkara paling asas yang perlu dipertimbangkan ketika ingin membeli spesies ikan yang amat bernilai ini. Pilihlah arowana yang aktif sahaja dan elakkan daripada membeli arowana yang suka bersembunyi di penjuru aquarium, berenang tidak normal atau yang berpenyakit. Antara tanda-tanda seekor arowana itu berpenyakit atau memiliki kecacatan adalah seperti sepasang sesirip pektoral yang terkapit, sesirip pektoral yang tidak sama panjang atau terlalu membengkok, konfigurasi sesisik yang tertonjol, dubur tersembul, bebola mata berselaput dan bernafas terlalu cepat (rapid breathing).

Keseluruhan konfigurasi ikan arowana yang ingin dibeli juga haruslah berkeadaan seimbang serta mampu mempamerkan keunggulan dan rasa keanggunan kepada bakal pemiliknya. Kedua-dua bebola mata haruslah kelihatan jernih dan bersih serta bebas daripada sebarang selaput tebal. Mulut dan rahang ikan arowana tersebut juga haruslah tertutup sempurna, dan sepasang sesungut di hadapan rahang bawah haruslah sama panjang serta tidak bergulung.

Selain itu, antara bahagian kepala dengan tubuh haruslah melandai dan bentuk keseluruhan tubuh haruslah serata serta seimbang. Sesisik ikan arowana itu juga haruslah tersusun rapi serta kelihatan seimbang dan sesirip haruslah sepadan dengan saiz tubuh iaitu tidak terlalu besar atau sebaliknya serta terbuka sepenuhnya. Warna arowana pula harus dititik berat berdasarkan kepada tanda-tanda pembeza keturunan (strain) iaitu sama ada daripada kategori Arowana Emas, Arowana Merah atau Arowana Hijau.

Rahang bawah yang menonjol ke atas akan kelihatan lebih ketara tatkala arowana itu semakin membesar. Ketidak seimbangan tumbesaran seperti berkepala atau bermata terlalu besar adalah petanda bahawa arowana mengalami kebantutan akibat kerencatan atau kelengkungan tulang spinalnya (spinal curvature). Sesirip yang besar lebih digemari oleh kebanyakan para penggemar ikan arowana tetapi hal ini tidak perlu terlalu difikirkan kerana sesirip ini akan kelihatan mengecil apabila arowana semakin membesar.

Arowana yang ingin dipilih juga harus pantas dan tangkas berenang dengan kesemua sesirip terbuka luas (termasuk sepasang sesirip pektoral). Arowana tersebut juga seharusnya tidak terlalu liar dan sentiasa bersedia untuk diberi makan. Adalah sukar untuk mengenal pasti tanda-tanda pembeza keturunan dan menentukan gred jika arowana masih terlalu kecil. Oleh yang demikian, penggemar ikan hiasan dicadangkan supaya mendapatkan arowana dewasa bagi tujuan pengenalpastian.

Penggemar ikan arowana juga dinasihatkan agar tidak sesekali membeli arowana yang baru sahaja tiba di kedai. Sebaliknya, langkah yang bijak adalah dengan menyediakan wang pendahuluan dan arowana tersebut disimpan di kedai tersebut. Penggemar ikan ini perlu mengikuti perkembangan demi perkembangan arowana yang ingin dibeli dalam beberapa hari kerana wabak penyakit mungkin berlaku akibat tekanan sewaktu perjalanan. Selain itu, sambil sibuk menyediakan tempat baru untuk bakal arowana peliharaan kesayangan itu, cuba pertimbangkan semula keputusan yang bakal dibuat bagi mengelakkan sebarang kekesalan dan membuat sedikit penyelidikan mengenai arowana-arowana yang baik mutunya.

HARI RAYA HAJI

| Thursday, November 26, 2009

"INSAN YANG BERJAYA sebenarnya ialah manusia yang
melakukan PENGORBANAN; sanggup berkorban masa, wang,
jiwa dan raga, kepentingan diri, tenaga dan kudrat, fikiran, perasaan
dan sebagainya kerana KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN
yang dikecapi TIDAK DATANG BERGOLEK."

"SELAMAT MENJALANKAN IBADAH KORBAN"

AIDILADHA

| Wednesday, November 25, 2009

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dan merupakan perayaan terbesar dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari kesepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah pada setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Dari segi bahasa, 'korban' bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam dan 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam iaitu Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah. Pada Hari Raya Aidiladha, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian sebelum menunaikan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat yang diadakan pada sebelah pagi.


"SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA"

CITES

| Saturday, November 21, 2009

Convention On International Trade
In Endangered Species Of Wild Fauna And Flora


CITES telah diasaskan dan ditandatangani di Geneva, Switzerland pada penghujung tahun 70-an secara bersama oleh beberapa buah negara yang menggariskan spesies Arowana Asia (Scleropages formosus) sebagai spesies fauna yang paling dilindungi (Appendix 1 akta CITES), sekaligus membasmi spesies ini daripada terus diancam kepupusan. Badan ini juga berperanan untuk memantau isu-isu penangkapan, pemilikan, pemasaran, pembiakan, penyeludupan, pengimportan dan pengeksportan secara haram di negara-negara yang diharamkan perdagangannya.

Bagi setiap Arowana Asia yang telah menjangkau ukuran 5-6 inci panjang (piawaian eksport) yang ingin diperdagangkan, lazimnya ikan-ikan tersebut akan disertakan 'tag' melalui kaedah penyuntikan sebutir 'mikrocip berdigital' masuk ke dalam tubuh menerusi bawah salah satu kepingan sisik Arowana Asia (biasanya pada sektor abdomal). Proses ini bertujuan bagi menetapkan identiti atau jenis keturunan Arowana Asia tersebut serta tempat asal ia dibiakkan (ladang pembiakan).


Di Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia bertanggungjawab dalam memantau segala aktiviti yang membabitkan spesies fauna air tawar yang dilindungi ini. Untuk tujuan pembiakan komersial pula, para bakal pembiak lazimnya harus memiliki sekurang-kurangnya 50-80 ekor baka ternak asal bagi melayakkan usaha mereka untuk membiakkan Arowana Asia dan seterusnya melaksanakan aktiviti pemasaran domestik, mengimport atau mengeksport.

Bagi setiap generasi biak komersial (generasi F2 - Second Filial, dan seterusnya) pula seperti Kategori Emas dan Kategori Merah, sijil perakuan identiti yang diiktiraf oleh sekretariat CITES
akan disediakan oleh pembiak untuk diserahkan bersama-sama 'produk komersial' mereka kepada setiap bakal pelanggan yang berpotensi. Ini juga adalah sebagai langkah rasmi bagi pembiak-pembiak komersial menjalankan aktiviti-aktiviti pengeksportan dan juga pengimportan fauna yang dilindungi ini.


Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00

OBOR HEMAH

|

Obor Hemah

Guru adalah awan indah terbang rendah
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara insan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
kitab sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara;
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara darma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun
mewariskan dunia sebagai kutub khanah,
menyediakan kutub khanah sebagai dunia;
ia mengemudi biduk, melepaskannya
atas lambungan laut, merangsang
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih;
dan pada ketika tak tersangkakan
walau diambilnya kembali semua buku
sempat ditinggalkannya asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.


A. Samad Said
Kuala Lumpur..2 April 1988

SESAPAN KELUBI

| Friday, November 20, 2009

Asal Usul Kampung Sesapan Kelubi

Kampung Sesapan Kelubi telah dibuka dalam tahun 1887 oleh sekumpulan pendatang berketurunan Jawa dan Minangkabau yang diketuai oleh seorang lelaki berketurunan Jawa Asli dan beragama Islam yang bernama Tok Mangkun. Makam Tok Mangkun masih terdapat di kawasan Kampung Tanjung sehingga ke hari ini.

Pada awal penerokaan, Kampung Sesapan Kelubi merupakan sebuah kawasan yang berpaya dan dipenuhi belukar. Kawasan ini dikatakan banyak ditumbuhi pokok-pokok hutan liar dan antara spesies yang banyak terdapat di kawasan tersebut ialah pokok kelubi. Orang Jawa yang berhijrah dan membuka penempatan di kawasan ini mendapati sebatang sungai mengalir di kawasan itu dan kawasan tebing sungai tersebut dipenuhi dengan pokok kelubi. Bersempena dengan sebatang sungai yang disebut sebagai 'sesapan' dan pokok kelubi yang banyak terdapat di kawasan itu, maka kampung itu telah diberi nama Kampung Sesapan Kelubi.

RINCHING HILIR

| Monday, November 16, 2009

Asal Usul Rinching Hilir

Kampung Rinching Hilir telah dibuka pada sekitar tahun 1915 oleh sekumpulan lima orang panglima dari Minangkabau, Sumatera. Antara nama panglima-panglima tersebut ialah Tok Pulut, Tok Jalik, Tok Mantau dan Tok Sayid. Para panglima ini datang berhijrah ke kawasan Kampung Rinching Hilir tanpa membawa bersama ahli keluarga mereka dan telah mendirikan pondok-pondok kediaman di kawasan yang berbukit.

Para Panglima dari Minangkabau ini adalah orang yang hebat dan kuat atau 'bagak' dalam bahasa Minangkabau. Ini kerana, mereka tidak takut dan berganjak dari kawasan pondok kediaman mereka walaupun banyak harimau berkeliaran di kawasan itu terutama pada waktu malam. Selain itu, dikisahkan juga bahawa salah seorang daripada panglima itu telah berjaya menangkap ikan bujuk dan sepat sebesar manusia ketika memancing di kawasan berpaya di sekitar kawasan kampung itu.

Punca Kampung Rinching Hilir mendapat nama amat berbeza dengan Kampung Rinching Tengah. Perkataan 'Rinching' sebenarnya membawa maksud saliran sungai yang merentasi kawasan kampung tersebut. Oleh kerana kampung tersebut terletak di kuala sungai itu, maka nama Kampung Rinching Hilir telah digunakan.

CHAIRIL ANWAR : KAWAN

| Sunday, November 15, 2009

Kepada Kawan

Sebelum ajal mendekat dan mengkhianat
Mencengkam dari belakang tika kita tidak melihat
Selama masih menggelombang dalam dada darah serta rasa
Belum bertugas kecewa dan gentar belum ada
Tidak lupa tiba-tiba bisa malam membenam
Layar merah terkibar hilang dalam kelam
Kawan, mari kita putuskan kini di sini:
Ajal yang menarik kita, juga mencekik diri sendiri!

Jadi
Isi gelas sepenuhnya lantas kosongkan
Tembus jelajah dunia ini dan balikkan
Peluk kecup perempuan, tinggalkan kalau merayu
Pilih kuda yang paling liar, pacu laju
Jangan tambatkan pada siang dan malam
Dan
Hancurkan lagi apa yang kau perbuat
Hilang sonder pusaka, sonder kerabat
Tidak minta ampun atas segala dosa
Tidak memberi pamit pada siapa saja!

Jadi
mari kita putuskan sekali lagi:
Ajal yang menarik kita, akan merasa angkasa sepi
Sekali lagi kawan, sebaris lagi:
Tikamkan pedangmu hingga ke hulu
Pada siapa yang mengairi kemurnian madu!!!

30 November 1946

RINCHING TENGAH

| Saturday, November 14, 2009

Asal Usul Rinching Tengah

Kampung Rinching Tengah dipercayai telah diterokai sekitar tahun 1910 oleh sekumpulan tiga orang asli yang digelar 'sakai' seperti menurut cerita peneroka awal kampung ini. Dalam usaha membersihkan hutan untuk dijadikan kawasan penempatan, kumpulan orang asli ini telah digemparkan dengan kedatangan sekumpulan harimau.

Oleh kerana berasa amat takut, ketiga-tiga orang asli ini telah lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri sehingga ada yang terkencing sewaktu berlari. Setelah keadaan reda, mereka telah berbincang mengenai nama bagi kampung yang baru dibuka itu lalu mereka telah mengaitkan topik perbincangan mereka dengan kejadian kedatangan harimau itu.

Perkataan 'kencing' telah digunakan berdasarkan peristiwa terkencing semasa menyelamatkan diri mereka yang akhirnya disebut sebagai 'Rinching. Perkataan 'Tengah' pula adalah berdasarkan kedudukan kampung ini yang terletak di tengah-tengah antara dua mukim iaitu Mukim Semenyih dan Mukim Beranang.

Oleh itu, kampung ini telah diberi nama Kampung Rinching Tengah sehingga ke hari ini. Selepas kampung ini diterokai oleh kumpulan orang asli tersebut, penduduknya telah bertambah dengan penghijrahan orang Jawa dari Pulau Jawa, Indonesia.

A. SAMAD SAID

| Friday, November 13, 2009

Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat


Utusan Zaman
13 November 1955

SUNGAI KANTAN

| Thursday, November 12, 2009

Asal Usul Sungai Kantan

Kampung Sungai Kantan terletak di kawasan berhampiran dengan Masjid Jamek Kajang. Menurut sumber cerita, Kampung Sungai Kantan ini dibuka oleh seorang lelaki berketurunan Jawa pada sekitar tahun 1920-an. Pada ketika itu, kawasan tersebut dipenuhi dengan pokok-pokok resam kantan dan terdapat juga anak sungai di kawasan itu. Sehubungan dengan itu, kawasan yang baru dibuka ini telah dinamakan sebagai Kampung Sungai Kantan.

CHAIRIL ANWAR : AKU

| Wednesday, November 11, 2009

Aku

Kalau sampai waktuku
Ku mahu tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa ku bawa berlari
Berlari..
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mahu hidup seribu tahun lagi.

GREEN AROWANA

| Tuesday, November 10, 2009

Arowana Hijau

Arowana Hijau terbahagi kepada dua sub variasi iaitu Arowana Hijau Biasa (Common Green) dan Arowana Ekor Kuning (Yellow Tail). Kedua-dua sub variasi ini merupakan spesies arowana yang mampu dimiliki oleh kebanyakan penggemar ikan hiasan eksotik ini.

Arowana Hijau Biasa (Common Green)

Bentuk Tubuh dan Warna Sesirip : Tubuh kelihatan agak membujur dan sedikit memendek (spesies arowana Asia terpendek dalam genus Osteoglossidae - Osteoglossiformes - Scleropages Formosus). Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal berwarna hijau tua - kekelabuan. Ekor arowana spesies ini pula agak melebar dan membulat di bahagian hujungnya.

Warna Sisik : Warna sisik putih pudar yang telus cahaya bagi arowana dewasa dan meliputi dari bahagian abdomen hingga ke aras jaluran kelima. Arowana jenis ini tidak memiliki variasi warna yang begitu menonjol berbanding spesies-spesies utama Arowana Asia yang lain. Kedua-dua bebola mata ikan arowana jenis ini berwarna jernih kekuningan dan adakalanya sedikit kemerahan, bergantung kepada generasi habitat asalnya. Arowana Hijau Biasa juga berukur lilit agak besar dan warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya berwarna coklat tua.


Arowana Ekor Kuning (Yellow Tail)

Bentuk Tubuh dan Warna Sesirip : Tubuh arowana jenis ini agak sama seperti Arowana Hijau Biasa (Common Green). Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal adalah berwarna kuning terang bercampur sedikit jejalur kehijauan.

Warna Sisik : Sisik arowana jenis ini putih pucat yang agak telus cahaya meliputi dari bahagian abdomen hingga ke aras jaluran sesisik kelima dan bahagian-bahagian yang lain sama keadaannya seperti Arowana Hijau Biasa.

Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00

BANGI

| Monday, November 9, 2009

Asal Usul Bangi

Sejarah Bangi bermula di suatu persimpangan sungai iaitu di antara Sungai Bangi dan Sungai Buluh. Sungai ini menjadi laluan utama penduduk pada ketika itu untuk berhubung dan di bahagian kuala sungai pula telah menjadi tumpuan penempatan pendatang-pendatang dari luar terutama dari Sungai Ujung (Negeri Sembilan) dan Kelang. Kuala sungai ini dikenali sebagai Sungai Putar kerana airnya yang berputar atau berpusar. Para pendatang yang berkampung di kawasan ini telah menamakan kampung mereka sebagai Kampung Aman.

Ada sumber yang mengatakan bahawa penduduk Bangi yang berasal dari Sungai Ujung, Negeri Sembilan ini berhijrah ke kawasan itu setelah dikurniakan tanah oleh Yam Tuan Besar Negeri Sembilan atas jasa-jasa mereka. Sebahagian ahli kumpulan yang berhijrah ini telah memilih penempatan di Sungai Kembung dan sebahagian lagi bergerak ke hilir hingga ke Kuala Sungai Putar dan mendirikan penempatan di Bangi. Oleh kerana itu, telor atau bahasa penduduk di Bangi banyak dipengaruhi oleh pelat atau telor bahasa Minangkabau.

Ada juga pendapat mengatakan bahawa penduduk Bangi berasal dari Sumatera, Indonesia yang merantau dan akhirnya membuka penempatan di Kuala Sungai Putar. Kumpulan pendatang ini diketuai oleh sekumpulan bersaudara dan keturunan mereka terus berkembang hingga ke hari ini di kawasan tersebut. Terdapat beberapa versi mengenai asal usul nama Bangi iaitu :


Pendapat Pertama :
Penduduk asal kawasan ini adalah sekumpulan orang asli yang diketuai oleh Tok Batin Bangai. Pada ketika itu, Kuala Sungai Putar telah menjadi tumpuan pendatang mendirikan pondok sebagai tempat persinggahan mereka sebelum meneruskan perjalanan ke pelbagai tempat. Oleh kerana pelat atau telor bahasa pendatang yang pelbagai, lama kelamaan sebutan penduduk terhadap perkataan Bangai yang merujuk kepada Tok Batin Bangai telah berubah menjadi Bangi.

Pendapat Kedua :

Bangi mendapat nama daripada serumpun serai wangi yang banyak terdapat di tebing Kuala Sungai Putar. Serai Wangi merupakan sejenis serai yang mengeluarkan bau yang harum pada sesuatu masa. Oleh kerana dipengaruhi oleh bau harum serai wangi ini, penduduk tempatan telah menamakan kawasan tersebut sebagai Wangi dan lama kelamaan perkataan wangi itu telah bertukar menjadi Bangi hinggalah sekarang.

CHERAS

| Friday, November 6, 2009

Asal Usul Cheras

Mukim Cheras dipercayai telah dibuka sekitar penghujung tahun 1876. Peneroka awal yang membuka perkampungan penduduk di kawasan ini ialah Tuan Syed Yahya bersama beberapa orang dalam kumpulan beliau yang berasal dari Acheh dan beliau telah meninggal dunia pada tahun 1904. Terdapat beberapa versi mengenai asal usul nama Cheras iaitu :

Pendapat Pertama :
Adalah dipercayai pada suatu ketika terdapat sekumpulan buruh yang sedang membina Jambatan Sungai Langat di Kampung Balakong. Ketika bekerja, mereka telah menjumpai sebatang kayu besar yang sukar dipotong kerana terdapat teras di bahagian dalam kayu itu. Ekoran daripada peristiwa tersebut, tempat kayu ini dijumpai kemudiannya dikenali sebagai Teras dan akhirnya sebutan tersebut ditukar menjadi Cheras.

Pendapat Kedua :

Terdapat sebatang pokok Teras yang besar dan terendam di dalam sungai. Oleh kerana pokok Teras ini merupakan sejenis pokok yang baik, maka penduduk setempat bersepakat untuk menamakan tempat tersebut sebagai Kampung Cheras dan sebatang sungai pula dinamakan sebagai Sungai Cheras.

Pendapat Ketiga :

Pedagang-pedagang berketurunan Cina di kawasan ini sering menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan. Dalam bahasa Cina, pergi dan balik disebut sebagai "chow lai" dan lama kelamaan sebutan tersebut menjadi terbiasa dengan sebutan Cheras.

PELURU BUTA

|

Tinggalkan Satu Peluru

Hidup semalam banyak mengajariku
Ingat-ingat tinggalkan satu peluru
Takut-takut kawan yang berganding bahu
Berkesudahan menjadi seteru
Mana tahu? Dah Jadi hantu

Selagi genting belum datang mengetuk pintu
Siapakah yang kanan, siapa pula yang kiri
Wayang dulu tak pernah reda
Hitam putih terus bertingkah
Helah-menghelah mencuri mimpi

Di mana helang terbang, ke situ ku tuju
Biarpun angin mengganas menusuk tubuh
Di mana, biarpun ke pusar mentari
Ku pergi, asal ku menang!

Begitu juga kata-kata rindu dan cinta
Sehati sejiwa hidup mati bersama
Dusta kini sudah lumrah
Hingga benar sukar diterima
Yang tewas tak pernah dipuja.

MUKIM BERANANG

| Thursday, November 5, 2009

Asal Usul Kampung Jalan Enam Kaki

Kampung ini telah diterokai pada tahun 1914 oleh sekumpulan peneroka yang berhijrah dari Negeri Sembilan dan dari semasa ke semasa jumlah penghijrahan penduduk dari luar ke kampung ini semakin meningkat. Pada ketika ini, kampung tersebut tidak mempunyai nama yang khusus dan sistem perhubungan utama yang menghubungkan Seremban ke Kuala Lumpur ialah jalan kereta api.

Penduduk kampung hanya menggunakan jalan denai yang menghubungkan antara satu kampung dengan kampung yang lain kerana pada ketika itu masih tiada sistem jalan raya. Memandangkan stesen kereta api terletak di pekan Bangi, maka jalan denai di kampung ini menjadi laluan utama para penduduk.

Penggunaan jalan darat yang semakin penting dan pertambahan penduduk di kawasan itu telah menyebabkan kerajaan British membina jalan baru melintasi kampung ini selebar enam kaki. Setelah pembinaan jalan ini siap, kerajaan British telah melantik empat orang pekerja untuk memastikan jalan ini sentiasa dalam keadaan baik. Dengan persetujuan penduduk kampung dan kerajaan British, kampung ini telah dinamakan Kampung Jalan Enam Kaki.

AMUK

|

Amukan Bahaman

Sembah salam pemula tari
kaki dipasak berakar ke bumi
tangan dilenggang menguntum bunga
berselang buah beracun menanti hajat
mulut membisu mata berbicara
mengungkap rasa sejuta makna
rasa hati gejolak jiwa
isi hati jiwa gelora

Buah diayun sepenuh tenaga
jurus pusaka paduan keramat
sepantas halilintar membelah buana
santapan petualang bangsa bangsat
de facto kehidupan alam ternoda
diri dipuncak taulan dihenyak
laba digapai biarpun bercerai handai

Biar pedih terguris luka
biar maut menyongsong masa
pantang mundur ke akhir nyawa
demi maruah junjungan jiwa
amukan ku biar bermaharajalela.

10.19am..5 November 2009..Khamis
Tatkala mata ku butakan, telinga ku pekakkan dan mulut ku bisukan..
Kajang, Selangor.

RED AROWANA

| Tuesday, November 3, 2009

Arowana Merah

Arowana merah terbahagi kepada dua sub variasi iaitu Arowana Merah Cili (Chilli Red) dan Arowana Merah Darah (Blood Red). Kedua-dua sub variasi ini digelar sebagai Arowana Super Red oleh para pengeksport dan pengimport setelah melalui proses hibridisasi atau kacukan.

Arowana Merah Cili (Chilli Red)

Bentuk Tubuh dan Warna Sesirip : Tubuh kelihatan agak melebar dan berkepala agak mengecil. Konfigurasi dari bahagian badan ke bahagian kepala pula kelihatan agak melandai atau melengkung. Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal berwarna merah garang sementara ekornya berbentuk agak lebar serta berbentuk menajam di bahagian hujungnya.

Warna Sisik : Warna sisik ialah merah saga pegun bagi yang telah matang atau dewasa dan meliputi dari sektor tebing sesisik (bingkai sisik) hingga ke bahagian kedua-dua permukaan sektor pipi (tompokan merah di kedua-dua belah sektor pipi). Warna sisik seakan-akan hijau tua dan agak kelihatan pada permukaan sektor teras sesisiknya tanpa imbasan kilauan (tidak seperti Kategori Arowana Emas). Kedua-dua bebola mata arowana jenis ini berwarna agak kekuning-merahan serta berukur lilit agak besar, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya hijau tua-kecoklatan.


Arowana Merah Darah (Blood Red)

Bentuk Tubuh dan Warna Sesirip : Tubuh arowana jenis ini agak gempal serta kelihatan memanjang dan langsing. Konfigurasi dari bahagian badan ke bahagian kepala kelihatan agak meruncing atau menirus dan bersaiz normal. Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal adalah berwarna merah pekat sementara ekornya berbentuk melebar dan membulat di bahagian hujungnya.

Warna Sisik : Sisik arowana jenis ini merah pekat pegun bagi yang telah matang dan meliputi dari sektor tebing sesisik (bingkai sisik) hingga ke bahagian kedua-dua permukaan sektor pipi. Warna seakan-akan biru tua agak kelihatan pada permukaan sektor teras sesisiknya tanpa imbasan kilauan. Kedua-dua bebola matanya berwarna agak kuning kemerahan serta berukur lilit agak mengecil jika dibandingkan dengan Chilli Red, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak juga lazimnya hijau tua kecoklatan.

Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00

KAJANG

| Monday, November 2, 2009


Asal Usul Nama Bandar Kajang

Perkataan Kajang lahir daripada beberapa sumber berikut :
Pendapat Pertama :
Adalah dipercayai kawasan Kajang telah diterokai oleh masyarakat suku Temuan kira-kira tahun 1580 lagi. Suku inilah yang memberi nama Kajang berdasarkan sejenis mengkuang hutan yang banyak tumbuh di kawasan ini dan digunakan untuk membuat atap pondok atau rumah.

Pendapat Kedua :

Batin Berenggai Besi merupakan seorang pembesar di Sungai Ujong. Beliau telah mendirikan pondok-pondok di pinggir sungai yang kini merupakan kawasan Kajang dengan menggunakan atap mengkuang. Beberapa lama kemudian, beliau telah menjadikan tempat ini sebagai kawasan penempatan. Nama Kajang lahir sempena bentuk atap mengkuang lipat kajang pada pondok-pondok yang telah didirikan di kawasan ini.

Pendapat Ketiga :

Menurut satu riwayat, maksud perkataan 'berkajang' bagi masyarakat Mendailing ialah berpondok. Bagi orang Bugis pula, 'berkajang' membawa maksud 'bertikam atau bergaduh'. Kedua-dua masyarakat ini pernah bertikaman di salah sebuah kawasan berbukit yang kini lokasi kawasan itu dikatakan terletak berhadapan Stesen Keretapi Kajang kerana salah faham berkenaan maksud perkataan 'berkajang'. Peristiwa ini berlaku semasa kedua-dua kelompok masyarakat ini menghulu Sungai Langat kerana melarikan diri daripada peperangan saudara yang berlaku di Kelang antara tahun 1867 hingga 1873. Akibat daripada peristiwa tersebut, tempat ini diberi nama Kajang.

Pendapat Keempat :

Ada sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka oleh Encik Lili yang juga dikenali sebagai Toh Lili yang berasal dari Riau pada tahun 1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran Sultan, beliau bersama enam orang rakannya telah membuka tanah untuk kegiatan penanaman padi di Bukit Sungai Merbau dan membuka lombong di Sungai Merbau yang kini dikenali sebagai Kajang.

Pendapat Kelima :
Raja Alam dari suku Mandailing bersama sekumpulan pengikutnya datang ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat. Setelah beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau 'berkajang' di suatu kawasan yang sekarang ini lokasi tersebut terletak di Jalan Mandailing. Sebahagian pengikut Raja Alam telah menerokai kawasan baru yang kini lokasi tersebut merupakan Kampung Batu 14 untuk kegiatan penanaman padi. Penempatan mereka ini akhirnya dimasyhurkan dengan nama Kajang oleh Raja Alam.

GOLDEN AROWANA

| Sunday, November 1, 2009

Arowana Emas

Arowana emas terbahagi kepada dua sub variasi iaitu Arowana Emas Malaysia (Malaysian Golden) atau Malayan Bonytongue dan Arowana Emas Indonesia (Indonesian Golden) atau secara komersial dikenali sebagai Red Tailed Golden (RTG).

Arowana Emas Malaysia

Bentuk Tubuh dan Warna Sesirip : Tubuh Arowana Emas Malaysia agak memanjang dan kelihatan langsing. Warna pada 1/3 aras atas dari sektor ekor ke sirip dorsal (sirip tunggal di bahagian atas tubuh) adalah berwarna hijau tua iaitu sedikit tompok kekuningan, manakala 2/3 warna pada aras bawah dari sektor ekor ke sirip anal (sirip tunggal di bahagian bawah berhampiran ekor), sirip pelvik (sepasang sesirip di bahagian hadapan sektor anus - lazimnya pada bahagian ini warnanya sedikit pudar) serta sepasang sesirip pektoral (sirip paling hadapan di kedua-dua belah sisi tubuh) adalah berwarna oren kemerahan.

Warna Sisik : Kuning keemasan (intensiti 18-24 karat - Arowana Emas Malaysia yang matang atau dewasa) dengan kilauan kebiru-biruan atau keungu-unguan jelas kelihatan terimbas pada permukaan sektor teras sesisiknya sewaktu ia kecil iaitu bermula dari bahagian jaluran sesisik ke-4 atau ke-5. Konfigurasi warna ini mampu meliputi secara keseluruhan sehingga ke bahagian aras jaluran sesisik ke-6 iaitu sektor puncak setelah berusia 5-6 tahun ke atas. Kedua-dua bebola matanya kelihatan sedikit kuning kemerahan dan berukur lilit agak besar, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya coklat tua kekelabuan.


Arowana Emas Indonesia

Bentuk Tubuh dan Warna Sesirip : Tubuh Arowana Emas Indonesia agak membujur dan sedikit memendek. Warna pada 1/3 aras atas dari sektor ekor ke sirip dorsal (sirip tunggal di bahagian atas tubuh) adalah hijau gelap kehitaman, manakala 2/3 warna pada aras bawah dari sektor ekor ke sirip anal, sirip pelvik serta sepasang sesirip pektoral adalah merah tua. Warna pada sesirip serta ekor Arowana Emas Indonesia lazimnya agak pekat berbanding Arowana Emas Malaysia. Oleh kerana itu spesies arowana ini dilabel sebagai Arowana Emas Berekor Merah atau Red Tailed Golden dalam bahasa Inggeris.

Warna Sisik :
Kuning loyang (Intensiti 12-16 karat untuk Arowana Emas Indonesia matang) dengan sedikit kilauan keungu-unguan kelihatan terimbas pada permukaan sektor teras sesisiknya dan kilauan tidak begitu ketara berbanding Arowana Emas Malaysia bermula dari bahagian jaluran sesisik ke-4 (agak selari dengan aras matanya). Adakala warna ini mampu untuk menjangkau sehingga ke aras jaluran sesisik ke-5 jika dikacuk bersama Arowana Emas Malaysia setelah proses mutanisasi atau hibridisasi. Kedua-dua bebola matanya berukur lilit agak mengecil jika dibandingkan dengan Arowana Emas Malaysia dan berwarna merah gelap, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya kelabu kehitaman.

Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"