Header Latest

KAJANG

| Monday, November 2, 2009


Asal Usul Nama Bandar Kajang

Perkataan Kajang lahir daripada beberapa sumber berikut :
Pendapat Pertama :
Adalah dipercayai kawasan Kajang telah diterokai oleh masyarakat suku Temuan kira-kira tahun 1580 lagi. Suku inilah yang memberi nama Kajang berdasarkan sejenis mengkuang hutan yang banyak tumbuh di kawasan ini dan digunakan untuk membuat atap pondok atau rumah.

Pendapat Kedua :

Batin Berenggai Besi merupakan seorang pembesar di Sungai Ujong. Beliau telah mendirikan pondok-pondok di pinggir sungai yang kini merupakan kawasan Kajang dengan menggunakan atap mengkuang. Beberapa lama kemudian, beliau telah menjadikan tempat ini sebagai kawasan penempatan. Nama Kajang lahir sempena bentuk atap mengkuang lipat kajang pada pondok-pondok yang telah didirikan di kawasan ini.

Pendapat Ketiga :

Menurut satu riwayat, maksud perkataan 'berkajang' bagi masyarakat Mendailing ialah berpondok. Bagi orang Bugis pula, 'berkajang' membawa maksud 'bertikam atau bergaduh'. Kedua-dua masyarakat ini pernah bertikaman di salah sebuah kawasan berbukit yang kini lokasi kawasan itu dikatakan terletak berhadapan Stesen Keretapi Kajang kerana salah faham berkenaan maksud perkataan 'berkajang'. Peristiwa ini berlaku semasa kedua-dua kelompok masyarakat ini menghulu Sungai Langat kerana melarikan diri daripada peperangan saudara yang berlaku di Kelang antara tahun 1867 hingga 1873. Akibat daripada peristiwa tersebut, tempat ini diberi nama Kajang.

Pendapat Keempat :

Ada sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka oleh Encik Lili yang juga dikenali sebagai Toh Lili yang berasal dari Riau pada tahun 1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran Sultan, beliau bersama enam orang rakannya telah membuka tanah untuk kegiatan penanaman padi di Bukit Sungai Merbau dan membuka lombong di Sungai Merbau yang kini dikenali sebagai Kajang.

Pendapat Kelima :
Raja Alam dari suku Mandailing bersama sekumpulan pengikutnya datang ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat. Setelah beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau 'berkajang' di suatu kawasan yang sekarang ini lokasi tersebut terletak di Jalan Mandailing. Sebahagian pengikut Raja Alam telah menerokai kawasan baru yang kini lokasi tersebut merupakan Kampung Batu 14 untuk kegiatan penanaman padi. Penempatan mereka ini akhirnya dimasyhurkan dengan nama Kajang oleh Raja Alam.

1 Maklum Balas:

Syed Norzalman said...

Sumber diperoleh dan disusun semula daripada http://www.mpkj.gov.my/

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"