CITES

| Saturday, November 21, 2009

Convention On International Trade
In Endangered Species Of Wild Fauna And Flora


CITES telah diasaskan dan ditandatangani di Geneva, Switzerland pada penghujung tahun 70-an secara bersama oleh beberapa buah negara yang menggariskan spesies Arowana Asia (Scleropages formosus) sebagai spesies fauna yang paling dilindungi (Appendix 1 akta CITES), sekaligus membasmi spesies ini daripada terus diancam kepupusan. Badan ini juga berperanan untuk memantau isu-isu penangkapan, pemilikan, pemasaran, pembiakan, penyeludupan, pengimportan dan pengeksportan secara haram di negara-negara yang diharamkan perdagangannya.

Bagi setiap Arowana Asia yang telah menjangkau ukuran 5-6 inci panjang (piawaian eksport) yang ingin diperdagangkan, lazimnya ikan-ikan tersebut akan disertakan 'tag' melalui kaedah penyuntikan sebutir 'mikrocip berdigital' masuk ke dalam tubuh menerusi bawah salah satu kepingan sisik Arowana Asia (biasanya pada sektor abdomal). Proses ini bertujuan bagi menetapkan identiti atau jenis keturunan Arowana Asia tersebut serta tempat asal ia dibiakkan (ladang pembiakan).


Di Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia bertanggungjawab dalam memantau segala aktiviti yang membabitkan spesies fauna air tawar yang dilindungi ini. Untuk tujuan pembiakan komersial pula, para bakal pembiak lazimnya harus memiliki sekurang-kurangnya 50-80 ekor baka ternak asal bagi melayakkan usaha mereka untuk membiakkan Arowana Asia dan seterusnya melaksanakan aktiviti pemasaran domestik, mengimport atau mengeksport.

Bagi setiap generasi biak komersial (generasi F2 - Second Filial, dan seterusnya) pula seperti Kategori Emas dan Kategori Merah, sijil perakuan identiti yang diiktiraf oleh sekretariat CITES
akan disediakan oleh pembiak untuk diserahkan bersama-sama 'produk komersial' mereka kepada setiap bakal pelanggan yang berpotensi. Ini juga adalah sebagai langkah rasmi bagi pembiak-pembiak komersial menjalankan aktiviti-aktiviti pengeksportan dan juga pengimportan fauna yang dilindungi ini.


Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00

OBOR HEMAH

|

Obor Hemah

Guru adalah awan indah terbang rendah
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara insan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
kitab sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara;
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara darma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun
mewariskan dunia sebagai kutub khanah,
menyediakan kutub khanah sebagai dunia;
ia mengemudi biduk, melepaskannya
atas lambungan laut, merangsang
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih;
dan pada ketika tak tersangkakan
walau diambilnya kembali semua buku
sempat ditinggalkannya asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.


A. Samad Said
Kuala Lumpur..2 April 1988

SESAPAN KELUBI

| Friday, November 20, 2009

Asal Usul Kampung Sesapan Kelubi

Kampung Sesapan Kelubi telah dibuka dalam tahun 1887 oleh sekumpulan pendatang berketurunan Jawa dan Minangkabau yang diketuai oleh seorang lelaki berketurunan Jawa Asli dan beragama Islam yang bernama Tok Mangkun. Makam Tok Mangkun masih terdapat di kawasan Kampung Tanjung sehingga ke hari ini.

Pada awal penerokaan, Kampung Sesapan Kelubi merupakan sebuah kawasan yang berpaya dan dipenuhi belukar. Kawasan ini dikatakan banyak ditumbuhi pokok-pokok hutan liar dan antara spesies yang banyak terdapat di kawasan tersebut ialah pokok kelubi. Orang Jawa yang berhijrah dan membuka penempatan di kawasan ini mendapati sebatang sungai mengalir di kawasan itu dan kawasan tebing sungai tersebut dipenuhi dengan pokok kelubi. Bersempena dengan sebatang sungai yang disebut sebagai 'sesapan' dan pokok kelubi yang banyak terdapat di kawasan itu, maka kampung itu telah diberi nama Kampung Sesapan Kelubi.