Header Latest

TIP MEMBELI AROWANA

| Saturday, November 28, 2009

Memilih Arowana Terbaik

Kesihatan arowana adalah perkara paling asas yang perlu dipertimbangkan ketika ingin membeli spesies ikan yang amat bernilai ini. Pilihlah arowana yang aktif sahaja dan elakkan daripada membeli arowana yang suka bersembunyi di penjuru aquarium, berenang tidak normal atau yang berpenyakit. Antara tanda-tanda seekor arowana itu berpenyakit atau memiliki kecacatan adalah seperti sepasang sesirip pektoral yang terkapit, sesirip pektoral yang tidak sama panjang atau terlalu membengkok, konfigurasi sesisik yang tertonjol, dubur tersembul, bebola mata berselaput dan bernafas terlalu cepat (rapid breathing).

Keseluruhan konfigurasi ikan arowana yang ingin dibeli juga haruslah berkeadaan seimbang serta mampu mempamerkan keunggulan dan rasa keanggunan kepada bakal pemiliknya. Kedua-dua bebola mata haruslah kelihatan jernih dan bersih serta bebas daripada sebarang selaput tebal. Mulut dan rahang ikan arowana tersebut juga haruslah tertutup sempurna, dan sepasang sesungut di hadapan rahang bawah haruslah sama panjang serta tidak bergulung.

Selain itu, antara bahagian kepala dengan tubuh haruslah melandai dan bentuk keseluruhan tubuh haruslah serata serta seimbang. Sesisik ikan arowana itu juga haruslah tersusun rapi serta kelihatan seimbang dan sesirip haruslah sepadan dengan saiz tubuh iaitu tidak terlalu besar atau sebaliknya serta terbuka sepenuhnya. Warna arowana pula harus dititik berat berdasarkan kepada tanda-tanda pembeza keturunan (strain) iaitu sama ada daripada kategori Arowana Emas, Arowana Merah atau Arowana Hijau.

Rahang bawah yang menonjol ke atas akan kelihatan lebih ketara tatkala arowana itu semakin membesar. Ketidak seimbangan tumbesaran seperti berkepala atau bermata terlalu besar adalah petanda bahawa arowana mengalami kebantutan akibat kerencatan atau kelengkungan tulang spinalnya (spinal curvature). Sesirip yang besar lebih digemari oleh kebanyakan para penggemar ikan arowana tetapi hal ini tidak perlu terlalu difikirkan kerana sesirip ini akan kelihatan mengecil apabila arowana semakin membesar.

Arowana yang ingin dipilih juga harus pantas dan tangkas berenang dengan kesemua sesirip terbuka luas (termasuk sepasang sesirip pektoral). Arowana tersebut juga seharusnya tidak terlalu liar dan sentiasa bersedia untuk diberi makan. Adalah sukar untuk mengenal pasti tanda-tanda pembeza keturunan dan menentukan gred jika arowana masih terlalu kecil. Oleh yang demikian, penggemar ikan hiasan dicadangkan supaya mendapatkan arowana dewasa bagi tujuan pengenalpastian.

Penggemar ikan arowana juga dinasihatkan agar tidak sesekali membeli arowana yang baru sahaja tiba di kedai. Sebaliknya, langkah yang bijak adalah dengan menyediakan wang pendahuluan dan arowana tersebut disimpan di kedai tersebut. Penggemar ikan ini perlu mengikuti perkembangan demi perkembangan arowana yang ingin dibeli dalam beberapa hari kerana wabak penyakit mungkin berlaku akibat tekanan sewaktu perjalanan. Selain itu, sambil sibuk menyediakan tempat baru untuk bakal arowana peliharaan kesayangan itu, cuba pertimbangkan semula keputusan yang bakal dibuat bagi mengelakkan sebarang kekesalan dan membuat sedikit penyelidikan mengenai arowana-arowana yang baik mutunya.

0 Maklum Balas:

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"