Header Latest

GOLDEN AROWANA

| Sunday, November 1, 2009

Arowana Emas

Arowana emas terbahagi kepada dua sub variasi iaitu Arowana Emas Malaysia (Malaysian Golden) atau Malayan Bonytongue dan Arowana Emas Indonesia (Indonesian Golden) atau secara komersial dikenali sebagai Red Tailed Golden (RTG).

Arowana Emas Malaysia

Bentuk Tubuh dan Warna Sesirip : Tubuh Arowana Emas Malaysia agak memanjang dan kelihatan langsing. Warna pada 1/3 aras atas dari sektor ekor ke sirip dorsal (sirip tunggal di bahagian atas tubuh) adalah berwarna hijau tua iaitu sedikit tompok kekuningan, manakala 2/3 warna pada aras bawah dari sektor ekor ke sirip anal (sirip tunggal di bahagian bawah berhampiran ekor), sirip pelvik (sepasang sesirip di bahagian hadapan sektor anus - lazimnya pada bahagian ini warnanya sedikit pudar) serta sepasang sesirip pektoral (sirip paling hadapan di kedua-dua belah sisi tubuh) adalah berwarna oren kemerahan.

Warna Sisik : Kuning keemasan (intensiti 18-24 karat - Arowana Emas Malaysia yang matang atau dewasa) dengan kilauan kebiru-biruan atau keungu-unguan jelas kelihatan terimbas pada permukaan sektor teras sesisiknya sewaktu ia kecil iaitu bermula dari bahagian jaluran sesisik ke-4 atau ke-5. Konfigurasi warna ini mampu meliputi secara keseluruhan sehingga ke bahagian aras jaluran sesisik ke-6 iaitu sektor puncak setelah berusia 5-6 tahun ke atas. Kedua-dua bebola matanya kelihatan sedikit kuning kemerahan dan berukur lilit agak besar, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya coklat tua kekelabuan.


Arowana Emas Indonesia

Bentuk Tubuh dan Warna Sesirip : Tubuh Arowana Emas Indonesia agak membujur dan sedikit memendek. Warna pada 1/3 aras atas dari sektor ekor ke sirip dorsal (sirip tunggal di bahagian atas tubuh) adalah hijau gelap kehitaman, manakala 2/3 warna pada aras bawah dari sektor ekor ke sirip anal, sirip pelvik serta sepasang sesirip pektoral adalah merah tua. Warna pada sesirip serta ekor Arowana Emas Indonesia lazimnya agak pekat berbanding Arowana Emas Malaysia. Oleh kerana itu spesies arowana ini dilabel sebagai Arowana Emas Berekor Merah atau Red Tailed Golden dalam bahasa Inggeris.

Warna Sisik :
Kuning loyang (Intensiti 12-16 karat untuk Arowana Emas Indonesia matang) dengan sedikit kilauan keungu-unguan kelihatan terimbas pada permukaan sektor teras sesisiknya dan kilauan tidak begitu ketara berbanding Arowana Emas Malaysia bermula dari bahagian jaluran sesisik ke-4 (agak selari dengan aras matanya). Adakala warna ini mampu untuk menjangkau sehingga ke aras jaluran sesisik ke-5 jika dikacuk bersama Arowana Emas Malaysia setelah proses mutanisasi atau hibridisasi. Kedua-dua bebola matanya berukur lilit agak mengecil jika dibandingkan dengan Arowana Emas Malaysia dan berwarna merah gelap, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya kelabu kehitaman.

Milik Jenis : Arowana Emas Malaysia (Malayan Bonytounge)
Kategori : Super High Back
Tarikh Lahir : 25 Julai 2009
Tarikh Beli : 25 September 2009 (2 bulan)
Punca : Ladang Arowana Bukit Merah, Perak.
Harga : RM450.00

0 Maklum Balas:

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"