Header Latest
Showing posts with label Ceritera. Show all posts
Showing posts with label Ceritera. Show all posts

SUNGAI SEKAMAT

| Sunday, December 20, 2009

Asal Usul Kampung Sungai Sekamat

Kampung Sekamat telah dibuka sekitar tahun 1800 oleh para penghijrah yang kebanyakannya berasal dari Minangkabau, Sumatera. Menurut cerita, kebanyakan peneroka awal yang berhijrah ke kawasan ini adalah golongan yang handal dalam ilmu persilatan dan perbomohan. Para peneroka ini juga terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Nama kampung ini dipercayai diperoleh daripada seorang penduduk kampung tersebut yang bernama Kamat. Kamat merupakan seorang penggali sumur atau telaga yang tinggal di pedalaman kampung. Para penduduk di kawasan itu sering mendapatkan khidmat beliau dan apabila mereka ditanya oleh penduduk lain ketika dalam perjalanan ke rumah Kamat, mereka akan menjawab, "Hendak ke rumah Si Kamat." Lama-kelamaan tempat ini dikenali sebagai 'Sikamat' dan oleh kerana kedudukan rumahnya yang berdekatan dengan sebatang sungai, maka nama kawasan tersebut menjadi Sungai Sekamat hingga ke hari ini.

SUNGAI KEMBONG

| Monday, December 7, 2009

Asal Usul Kampung Sungai Kembong

Terdapat dua versi mengenai kisah asal usul nama Kampung Sungai Kembong Hulu. Menurut versi pertama, kampung ini dipercayai telah dibuka sebelum tahun 1915 oleh para peneroka dari Palembang, Sumatera dan kemudiannya disusuli oleh orang Bangkahulu, Sumatera. Kampung ini mendapat nama apabila suatu peristiwa menyayat hati telah berlaku semasa kerja-kerja penerokaan dan pembersihan hutan dijalankan.

Pada ketika itu, salah seorang peneroka telah pergi ke sebatang sungai untuk membasuh muka dan minum kerana terasa panas dan kehausan ketika menjalankan kerja penerokaan hutan. Ketika membongkokkan badan untuk membasuh muka, peneroka tersebut telah diserang penyakit sawan babi (epilepsy) lalu jatuh terlungkup ke dalam sungai yang dikatakan cetek iaitu hanya separas buku lali. Dengan takdir Tuhan, peneroka tersebut telah meninggal dunia tanpa disedari rakan-rakannya.

Pada keesokan hari, mayat peneroka tersebut telah dijumpai oleh rakan-rakannya dalam keadaan perut yang sudah kembung. Sehubungan dengan peristiwa tersebut kampung yang baru diteroka itu telah diberi nama Kampung Sungai Kembong Hulu dan perkataan 'hulu' merujuk kepada kedudukan kawasan itu yang terletak di bahagian hulu sungai.

Menurut versi kedua pula, nama Kampung Sungai Kembong Hulu ini diperoleh berdasarkan sejenis rotan iaitu rotan kembung yang banyak tumbuh di tepi sungai kampung tersebut ketika awal penerokaan. Oleh itu, para peneroka awal telah menamakan kampung ini bersempena dengan nama rotan tersebut.

KUALA PAJAM

| Monday, November 30, 2009

Asal Usul Kampung Kuala Pajam

Kampung Kuala Pajam terletak di sempadan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Kampung ini telah diterokai sekitar tahun 1914 oleh sekumpulan peneroka dari Negeri Sembilan. Kampung ini mendapat nama daripada sebatang sungai yang mengalir di tengah-tengah kampung yang berpunca dari Batang Benar dan Pajam di Negeri Sembilan serta Beranang. Kesemua sungai tersebut mengalir dan telah bertumpu ke kuala sungai di kawasan kampung ini. Asal nama "pajam" berhubung kait dengan asal usul nama Beranang dan Kampung Sungai Kembong.

"Pajam" bermaksud telah meninggal dunia dalam bahasa Minangkabau dan dikatakan berhubung kait dengan sejarah Beranang iaitu akibat daripada pertempuran yang telah menyebabkan mayat-mayat kelihatan seolah-olah berenang di dalam sungai yang dipenuhi darah dan telah hanyut ke hilir sungai sehingga sampai ke Kampung Kuala Pajam. Apabila mayat-mayat ini sampai di kuala sungai tersebut, penduduk di situ mendapati mata mayat hanyut tersebut telah terpejam (pajam) atau telah meninggal dunia. Selepas beberapa hari kemudian, mayat-mayat tersebut hanyut ke hilir sungai hingga tiba di Kampung Sungai Kembong.

SESAPAN KELUBI

| Friday, November 20, 2009

Asal Usul Kampung Sesapan Kelubi

Kampung Sesapan Kelubi telah dibuka dalam tahun 1887 oleh sekumpulan pendatang berketurunan Jawa dan Minangkabau yang diketuai oleh seorang lelaki berketurunan Jawa Asli dan beragama Islam yang bernama Tok Mangkun. Makam Tok Mangkun masih terdapat di kawasan Kampung Tanjung sehingga ke hari ini.

Pada awal penerokaan, Kampung Sesapan Kelubi merupakan sebuah kawasan yang berpaya dan dipenuhi belukar. Kawasan ini dikatakan banyak ditumbuhi pokok-pokok hutan liar dan antara spesies yang banyak terdapat di kawasan tersebut ialah pokok kelubi. Orang Jawa yang berhijrah dan membuka penempatan di kawasan ini mendapati sebatang sungai mengalir di kawasan itu dan kawasan tebing sungai tersebut dipenuhi dengan pokok kelubi. Bersempena dengan sebatang sungai yang disebut sebagai 'sesapan' dan pokok kelubi yang banyak terdapat di kawasan itu, maka kampung itu telah diberi nama Kampung Sesapan Kelubi.

RINCHING HILIR

| Monday, November 16, 2009

Asal Usul Rinching Hilir

Kampung Rinching Hilir telah dibuka pada sekitar tahun 1915 oleh sekumpulan lima orang panglima dari Minangkabau, Sumatera. Antara nama panglima-panglima tersebut ialah Tok Pulut, Tok Jalik, Tok Mantau dan Tok Sayid. Para panglima ini datang berhijrah ke kawasan Kampung Rinching Hilir tanpa membawa bersama ahli keluarga mereka dan telah mendirikan pondok-pondok kediaman di kawasan yang berbukit.

Para Panglima dari Minangkabau ini adalah orang yang hebat dan kuat atau 'bagak' dalam bahasa Minangkabau. Ini kerana, mereka tidak takut dan berganjak dari kawasan pondok kediaman mereka walaupun banyak harimau berkeliaran di kawasan itu terutama pada waktu malam. Selain itu, dikisahkan juga bahawa salah seorang daripada panglima itu telah berjaya menangkap ikan bujuk dan sepat sebesar manusia ketika memancing di kawasan berpaya di sekitar kawasan kampung itu.

Punca Kampung Rinching Hilir mendapat nama amat berbeza dengan Kampung Rinching Tengah. Perkataan 'Rinching' sebenarnya membawa maksud saliran sungai yang merentasi kawasan kampung tersebut. Oleh kerana kampung tersebut terletak di kuala sungai itu, maka nama Kampung Rinching Hilir telah digunakan.

RINCHING TENGAH

| Saturday, November 14, 2009

Asal Usul Rinching Tengah

Kampung Rinching Tengah dipercayai telah diterokai sekitar tahun 1910 oleh sekumpulan tiga orang asli yang digelar 'sakai' seperti menurut cerita peneroka awal kampung ini. Dalam usaha membersihkan hutan untuk dijadikan kawasan penempatan, kumpulan orang asli ini telah digemparkan dengan kedatangan sekumpulan harimau.

Oleh kerana berasa amat takut, ketiga-tiga orang asli ini telah lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri sehingga ada yang terkencing sewaktu berlari. Setelah keadaan reda, mereka telah berbincang mengenai nama bagi kampung yang baru dibuka itu lalu mereka telah mengaitkan topik perbincangan mereka dengan kejadian kedatangan harimau itu.

Perkataan 'kencing' telah digunakan berdasarkan peristiwa terkencing semasa menyelamatkan diri mereka yang akhirnya disebut sebagai 'Rinching. Perkataan 'Tengah' pula adalah berdasarkan kedudukan kampung ini yang terletak di tengah-tengah antara dua mukim iaitu Mukim Semenyih dan Mukim Beranang.

Oleh itu, kampung ini telah diberi nama Kampung Rinching Tengah sehingga ke hari ini. Selepas kampung ini diterokai oleh kumpulan orang asli tersebut, penduduknya telah bertambah dengan penghijrahan orang Jawa dari Pulau Jawa, Indonesia.

SUNGAI KANTAN

| Thursday, November 12, 2009

Asal Usul Sungai Kantan

Kampung Sungai Kantan terletak di kawasan berhampiran dengan Masjid Jamek Kajang. Menurut sumber cerita, Kampung Sungai Kantan ini dibuka oleh seorang lelaki berketurunan Jawa pada sekitar tahun 1920-an. Pada ketika itu, kawasan tersebut dipenuhi dengan pokok-pokok resam kantan dan terdapat juga anak sungai di kawasan itu. Sehubungan dengan itu, kawasan yang baru dibuka ini telah dinamakan sebagai Kampung Sungai Kantan.

BANGI

| Monday, November 9, 2009

Asal Usul Bangi

Sejarah Bangi bermula di suatu persimpangan sungai iaitu di antara Sungai Bangi dan Sungai Buluh. Sungai ini menjadi laluan utama penduduk pada ketika itu untuk berhubung dan di bahagian kuala sungai pula telah menjadi tumpuan penempatan pendatang-pendatang dari luar terutama dari Sungai Ujung (Negeri Sembilan) dan Kelang. Kuala sungai ini dikenali sebagai Sungai Putar kerana airnya yang berputar atau berpusar. Para pendatang yang berkampung di kawasan ini telah menamakan kampung mereka sebagai Kampung Aman.

Ada sumber yang mengatakan bahawa penduduk Bangi yang berasal dari Sungai Ujung, Negeri Sembilan ini berhijrah ke kawasan itu setelah dikurniakan tanah oleh Yam Tuan Besar Negeri Sembilan atas jasa-jasa mereka. Sebahagian ahli kumpulan yang berhijrah ini telah memilih penempatan di Sungai Kembung dan sebahagian lagi bergerak ke hilir hingga ke Kuala Sungai Putar dan mendirikan penempatan di Bangi. Oleh kerana itu, telor atau bahasa penduduk di Bangi banyak dipengaruhi oleh pelat atau telor bahasa Minangkabau.

Ada juga pendapat mengatakan bahawa penduduk Bangi berasal dari Sumatera, Indonesia yang merantau dan akhirnya membuka penempatan di Kuala Sungai Putar. Kumpulan pendatang ini diketuai oleh sekumpulan bersaudara dan keturunan mereka terus berkembang hingga ke hari ini di kawasan tersebut. Terdapat beberapa versi mengenai asal usul nama Bangi iaitu :


Pendapat Pertama :
Penduduk asal kawasan ini adalah sekumpulan orang asli yang diketuai oleh Tok Batin Bangai. Pada ketika itu, Kuala Sungai Putar telah menjadi tumpuan pendatang mendirikan pondok sebagai tempat persinggahan mereka sebelum meneruskan perjalanan ke pelbagai tempat. Oleh kerana pelat atau telor bahasa pendatang yang pelbagai, lama kelamaan sebutan penduduk terhadap perkataan Bangai yang merujuk kepada Tok Batin Bangai telah berubah menjadi Bangi.

Pendapat Kedua :

Bangi mendapat nama daripada serumpun serai wangi yang banyak terdapat di tebing Kuala Sungai Putar. Serai Wangi merupakan sejenis serai yang mengeluarkan bau yang harum pada sesuatu masa. Oleh kerana dipengaruhi oleh bau harum serai wangi ini, penduduk tempatan telah menamakan kawasan tersebut sebagai Wangi dan lama kelamaan perkataan wangi itu telah bertukar menjadi Bangi hinggalah sekarang.

CHERAS

| Friday, November 6, 2009

Asal Usul Cheras

Mukim Cheras dipercayai telah dibuka sekitar penghujung tahun 1876. Peneroka awal yang membuka perkampungan penduduk di kawasan ini ialah Tuan Syed Yahya bersama beberapa orang dalam kumpulan beliau yang berasal dari Acheh dan beliau telah meninggal dunia pada tahun 1904. Terdapat beberapa versi mengenai asal usul nama Cheras iaitu :

Pendapat Pertama :
Adalah dipercayai pada suatu ketika terdapat sekumpulan buruh yang sedang membina Jambatan Sungai Langat di Kampung Balakong. Ketika bekerja, mereka telah menjumpai sebatang kayu besar yang sukar dipotong kerana terdapat teras di bahagian dalam kayu itu. Ekoran daripada peristiwa tersebut, tempat kayu ini dijumpai kemudiannya dikenali sebagai Teras dan akhirnya sebutan tersebut ditukar menjadi Cheras.

Pendapat Kedua :

Terdapat sebatang pokok Teras yang besar dan terendam di dalam sungai. Oleh kerana pokok Teras ini merupakan sejenis pokok yang baik, maka penduduk setempat bersepakat untuk menamakan tempat tersebut sebagai Kampung Cheras dan sebatang sungai pula dinamakan sebagai Sungai Cheras.

Pendapat Ketiga :

Pedagang-pedagang berketurunan Cina di kawasan ini sering menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan. Dalam bahasa Cina, pergi dan balik disebut sebagai "chow lai" dan lama kelamaan sebutan tersebut menjadi terbiasa dengan sebutan Cheras.

MUKIM BERANANG

| Thursday, November 5, 2009

Asal Usul Kampung Jalan Enam Kaki

Kampung ini telah diterokai pada tahun 1914 oleh sekumpulan peneroka yang berhijrah dari Negeri Sembilan dan dari semasa ke semasa jumlah penghijrahan penduduk dari luar ke kampung ini semakin meningkat. Pada ketika ini, kampung tersebut tidak mempunyai nama yang khusus dan sistem perhubungan utama yang menghubungkan Seremban ke Kuala Lumpur ialah jalan kereta api.

Penduduk kampung hanya menggunakan jalan denai yang menghubungkan antara satu kampung dengan kampung yang lain kerana pada ketika itu masih tiada sistem jalan raya. Memandangkan stesen kereta api terletak di pekan Bangi, maka jalan denai di kampung ini menjadi laluan utama para penduduk.

Penggunaan jalan darat yang semakin penting dan pertambahan penduduk di kawasan itu telah menyebabkan kerajaan British membina jalan baru melintasi kampung ini selebar enam kaki. Setelah pembinaan jalan ini siap, kerajaan British telah melantik empat orang pekerja untuk memastikan jalan ini sentiasa dalam keadaan baik. Dengan persetujuan penduduk kampung dan kerajaan British, kampung ini telah dinamakan Kampung Jalan Enam Kaki.

KAJANG

| Monday, November 2, 2009


Asal Usul Nama Bandar Kajang

Perkataan Kajang lahir daripada beberapa sumber berikut :
Pendapat Pertama :
Adalah dipercayai kawasan Kajang telah diterokai oleh masyarakat suku Temuan kira-kira tahun 1580 lagi. Suku inilah yang memberi nama Kajang berdasarkan sejenis mengkuang hutan yang banyak tumbuh di kawasan ini dan digunakan untuk membuat atap pondok atau rumah.

Pendapat Kedua :

Batin Berenggai Besi merupakan seorang pembesar di Sungai Ujong. Beliau telah mendirikan pondok-pondok di pinggir sungai yang kini merupakan kawasan Kajang dengan menggunakan atap mengkuang. Beberapa lama kemudian, beliau telah menjadikan tempat ini sebagai kawasan penempatan. Nama Kajang lahir sempena bentuk atap mengkuang lipat kajang pada pondok-pondok yang telah didirikan di kawasan ini.

Pendapat Ketiga :

Menurut satu riwayat, maksud perkataan 'berkajang' bagi masyarakat Mendailing ialah berpondok. Bagi orang Bugis pula, 'berkajang' membawa maksud 'bertikam atau bergaduh'. Kedua-dua masyarakat ini pernah bertikaman di salah sebuah kawasan berbukit yang kini lokasi kawasan itu dikatakan terletak berhadapan Stesen Keretapi Kajang kerana salah faham berkenaan maksud perkataan 'berkajang'. Peristiwa ini berlaku semasa kedua-dua kelompok masyarakat ini menghulu Sungai Langat kerana melarikan diri daripada peperangan saudara yang berlaku di Kelang antara tahun 1867 hingga 1873. Akibat daripada peristiwa tersebut, tempat ini diberi nama Kajang.

Pendapat Keempat :

Ada sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka oleh Encik Lili yang juga dikenali sebagai Toh Lili yang berasal dari Riau pada tahun 1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran Sultan, beliau bersama enam orang rakannya telah membuka tanah untuk kegiatan penanaman padi di Bukit Sungai Merbau dan membuka lombong di Sungai Merbau yang kini dikenali sebagai Kajang.

Pendapat Kelima :
Raja Alam dari suku Mandailing bersama sekumpulan pengikutnya datang ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat. Setelah beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau 'berkajang' di suatu kawasan yang sekarang ini lokasi tersebut terletak di Jalan Mandailing. Sebahagian pengikut Raja Alam telah menerokai kawasan baru yang kini lokasi tersebut merupakan Kampung Batu 14 untuk kegiatan penanaman padi. Penempatan mereka ini akhirnya dimasyhurkan dengan nama Kajang oleh Raja Alam.

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"