Header Latest

SUNGAI KEMBONG

| Monday, December 7, 2009

Asal Usul Kampung Sungai Kembong

Terdapat dua versi mengenai kisah asal usul nama Kampung Sungai Kembong Hulu. Menurut versi pertama, kampung ini dipercayai telah dibuka sebelum tahun 1915 oleh para peneroka dari Palembang, Sumatera dan kemudiannya disusuli oleh orang Bangkahulu, Sumatera. Kampung ini mendapat nama apabila suatu peristiwa menyayat hati telah berlaku semasa kerja-kerja penerokaan dan pembersihan hutan dijalankan.

Pada ketika itu, salah seorang peneroka telah pergi ke sebatang sungai untuk membasuh muka dan minum kerana terasa panas dan kehausan ketika menjalankan kerja penerokaan hutan. Ketika membongkokkan badan untuk membasuh muka, peneroka tersebut telah diserang penyakit sawan babi (epilepsy) lalu jatuh terlungkup ke dalam sungai yang dikatakan cetek iaitu hanya separas buku lali. Dengan takdir Tuhan, peneroka tersebut telah meninggal dunia tanpa disedari rakan-rakannya.

Pada keesokan hari, mayat peneroka tersebut telah dijumpai oleh rakan-rakannya dalam keadaan perut yang sudah kembung. Sehubungan dengan peristiwa tersebut kampung yang baru diteroka itu telah diberi nama Kampung Sungai Kembong Hulu dan perkataan 'hulu' merujuk kepada kedudukan kawasan itu yang terletak di bahagian hulu sungai.

Menurut versi kedua pula, nama Kampung Sungai Kembong Hulu ini diperoleh berdasarkan sejenis rotan iaitu rotan kembung yang banyak tumbuh di tepi sungai kampung tersebut ketika awal penerokaan. Oleh itu, para peneroka awal telah menamakan kampung ini bersempena dengan nama rotan tersebut.

DIET AROWANA

| Saturday, December 5, 2009

Diet Arowana

Arowana adalah spesies ikan pemaging (carnivorous). Dalam habitat liar, makanan ruji ikan arowana terdiri daripada serangga, ikan-ikan kecil (meadow fishes), udang-udang kecil (shrimps), cacing dan amfibia kecil. Makanan mentah amat digemari arowana tetapi ikan spesies ini juga boleh dilatih untuk menerima pelbagai jenis makanan alternatif yang lain. Mempelbagaikan menu makanan arowana adalah satu kemestian bagi mengelakkan kekurangan zat-zat makanan yang merupakan sumber utama tumbesaran arowana.

Arowana kecil (bawah 15sm) harus diberi makan sebanyak tiga kali sehari, arowana muda (15-35sm) sebanyak dua kali sehari dan arowana dewasa (35sm ke atas) pula sekali sehari atau berselang sehari. Ikan hidup yang tinggi kandungan lemak perlu dijadikan menu kepada arowana dalam jarak masa tertentu bagi mengelakkan permasalahan sindrom bermata jatuh (down-eyed syndrome). Jika arowana diberi makan berlebihan (over fed) dalam jangka waktu yang berterusan akan menyebabkan ikan peliharaan eksotik ini mula kehilangan selera untuk makan dan cara mengatasi masalah ini adalah dengan melaparkan arowana iaitu tidak diberi makanan selama beberapa hari. Selain itu, jika arowana kerap diberi makan berlebihan dipercayai akan memendekkan jangka hayat arowana tersebut dan memudaratkan keupayaan ikan arowana itu untuk membiak.


Makanan hidup secara umumnya lebih berzat berbanding makanan yang telah diproses berbentuk batangan (stick foods) dan butiran (pellets) di pasaran. Namun begitu, risiko penyebaran wabak penyakit adalah lebih tinggi apabila makanan hidup dijadikan sebagai menu arowana. Sehubungan dengan itu, makanan-makanan hidup yang dipilih haruslah dikuarantin beberapa hari sebelum diberi kepada arowana.

GEMALAI RONGGENG JENIN

| Wednesday, December 2, 2009

Gemalai Ronggeng Jenin


Gemaung serata buana
kuda tempur dihambat hiba
namun nestapa tiada berzahir rupa
terkemam di balik lidah bertulang
pawaka amarah menjolak bisa sangar
setelah kalbu didupak jenin puaka
mengendong beban dikerah mara;
merongkah kewarasan sukma
menggegar imbangan jiwa

tika berjuang di medan murabbi.

Sedangkan keldai haprak hamis;
jongos girang mengintai ruang
abdi jenin mengemis peluang
menyusun bicara menjohong halus
murah di mulut menongkah arus
bersulam kata tinggi melangit
enau melilit; menghenyak demi puncak
riak menuju loga fana
ria menjabal rakus laba sebangsa
mara tanpa bebanan melainkan angan
mengendong cita dongeng dan impian
beronggeng gah seia gemalai jenin.

1.04am..26 November 2007..Isnin
Tatkala mata ku butakan, telinga ku pekakkan dan mulut ku bisukan..
Kajang, Selangor.

"Mantera Jiwa Penyembuh Lara Dunia"